BUDAPEST, 31 JULAI – Oscar Piastri kembali ke lokasi kemenangan pertamanya di Grand Prix Hungary hujung minggu ini dengan misi untuk mengukuhkan kedudukannya di puncak carta kejuaraan, mengatasi rakan sepasukannya di McLaren, Lando Norris.
Pemandu Australia berusia 24 tahun itu telah meraih enam kemenangan daripada 13 perlumbaan musim ini dan kini mendahului Norris dengan kelebihan 16 mata. Namun, dia sedar akan cabaran yang menanti.
“Saya tidak sabar untuk kembali ke tempat di mana saya meraih kemenangan pertama saya,” kata Piastri.
“Ia adalah bandar yang hebat, litar yang menarik dan hujung minggu yang menyeronokkan. Tapi bila kami mula masuk ke dalam kereta dan berada di litar, semua itu akan dilupakan.”
Kemenangan sulung Piastri tahun lalu hadir dengan bantuan arahan pasukan. Selepas memintas Norris yang bermula dari petak utama, Piastri kehilangan kedudukan itu semasa di hentian pit. McLaren kemudian meminta Norris menyerahkan semula posisi tersebut, memberikan kemenangan pertama kepada Piastri – sesuatu yang membuat Norris rasa terpinggir.

Kali ini, Norris mahu memastikan dia menang dengan usahanya sendiri bagi merapatkan jurang kejuaraan.
Di Belgium, Piastri memintas Norris selepas permulaan semula di litar basah dan mencatat kemenangan, manakala Norris terus bergelut dengan konsistensi berbanding Piastri yang dilihat lebih mantap dan jarang melakukan kesilapan.
Senario sama mungkin berulang hujung minggu ini, dengan McLaren kini mendominasi – selepas mencatat 10 kemenangan dan menyasarkan kemenangan ke-200 mereka sebelum Formula One memasuki rehat musim panas.
Selepas perlumbaan penuh cabaran di Spa-Francorchamps yang dilanda hujan, Litar Hungaroring yang terletak 25km dari Budapest menjanjikan cabaran berbeza – trek sempit dan perlahan dengan satu-satunya laluan lurus yang sering digelar ‘Monaco tanpa penghadang’.
Cuaca juga dijangka berbeza dengan ramalan cuaca cerah dan panas, namun ribut petir masih berkemungkinan berlaku. Ia akan menjadikan perlumbaan lebih mencabar dari segi teknikal kepada pasukan dan pemandu.
Hungary menyertai kalendar Kejuaraan Dunia Formula One pada tahun 1986 ketika perlumbaan di Eropah Timur melalui Tirai Besi masih dianggap mencabar. Namun, Grand Prix Hungary pertama diadakan 50 tahun sebelumnya di Taman Nepliget, Budapest. – AFP

