BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Kementerian Pembangunan menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Pertama Kumpulan Kerja Bangunan dan Pembinaan ASEAN yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Hotel Radisson, di sini.
Mesyuarat telah dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan) di Kementerian Pembangunan, Hajah Siti Aidah binti Haji Mohammad.
Dalam ucapan perasmiannya, Hajah Siti Aidah antara lain menyatakan mengenai penaiktarafan Taskforce Building Construction Materials kepada Building Construction Working Group di bawah naungan ASEAN Consultative Committee for Standards and Quality (ACCSQ).
Beliau juga menyebut bahawa pada Januari lalu, Mesyuarat Pegawai-pegawai Ekonomi Kanan ASEAN (SEOM) telah mengesahkan Terma Rujukan Kumpulan Kerja Bangunan dan Pembinaan (BCWG) dan menyarankan untuk memastikan keperluan penyelarasan dengan TOR ASEAN Smart cities yang sedang dalam pembentukan.
Menurut beliau, antara agenda bagi mesyuarat kali ini merangkumi penilaian sedia ada EN Eurocodes standard, peraturan, dasar dan program-program di peringkat kebangsaan dan serantau, serta untuk membincangkan saranan Mesyuarat ACCSQ ke-50 untuk kumpulan kerja dan kumpulan kerja produk menyerapkan negara-negara pintar ke dalam skop bidang BCWG.

Beliau percaya bahawa piawaian Eurocode pasti akan memberikan impak yang besar bagi membolehkan industri pembinaan menjadi lebih berdaya saing dan lebih banyak pasaran terbuka manakala negara-negara pintar akan menyediakan sebuah pembangunan bersepadu dengan baik bagi faedah rakyat dan negara.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan, seramai 26 orang dari negara-negara anggota ASEAN yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan dan ahli-ahli Jawatankuasa ASEAN BCWG menghadiri mesyuarat berkenaan. Antara lain yang hadir termasuk penasihat undang-undang BCWG masing-masing dari enam buah negara anggota ASEAN.
Delegasi Negara Brunei Darussalam pada mesyuarat itu telah diwakili oleh pegawai-pegawai ABCi dan Pejabat Peguam Negara (AGC). Turut hadir ialah pegawai-pegawai dari pelbagai agensi iaitu Jabatan Kerja Raya dan Pusat Standard Kebangsaan (PSK).
Hajah Siti Aidah dalam ucapannya menyatakan harapan bahawa dengan mesyuarat Kumpulan Kerja Bangunan dan Pembinaan ASEAN yang pertama ini akan memuktamadkan MRA yang dibincangkan dengan mendapat konsensus antara semua negara AMS yang kemudian akan disahkan pada Mesyuarat ACCSQ nanti dan ia dijangka ditandatangani dalam hujung 2019 selaras garis masa.
Beliau juga menekankan kepentingan MRA berkenaan sebagai salah satu cara untuk memudahkan pengiktirafan bersama keputusan ujian dan pensijilan bagi negara-negara anggota ASEAN dan bertujuan untuk mengurangkan halangan dalam perdagangan di sektor pembinaan dan bangunan.