Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh PIBG
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Peringkat Negara Sesi 2019-2022 telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-73 yang berlangsung di Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri, kelmarin. Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Pemangku Pengarah Sekolah-sekolah, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Awang Zainal Abidin bin Haji Kepli. Majlis dimulakan dengan solat Fardu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri, Haji Samsul bin Haji Abdul Latif, diikuti dengan bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran serta diakhiri dengan sembahyang Fardu Isyak berjemaah di mana majlis dihadiri oleh hampir 100 orang jemaah.
Majlis bermatlamat untuk menzahirkan rasa kesyukuran dan junjung kasih para ahli PIBG selaku wakil ibu bapa dan penjaga pelajar serta guru-guru kehadapan majlis Baginda Sultan yang sangat pemedulian terhadap kesejahteraan rakyat khususnya dalam pendidikan dan merafakkan sembah ucapan dan berdoa semoga Allah SWT melanjutkan usia Baginda dan kekal karar memerintah negara.
Selain itu, majlis turut menzahirkan kemuafakatan dan sokongan padu ahli-ahli jawatankuasa PIBG senegara dalam mendukung kepimpinan Baginda Sultan dan meningkatkan hubungan silaturahim dan kerjasama dalam kalangan ahli-ahli PIBG di setiap kluster di negara ini.
