Oleh Daniel Lim
BELAIT, 2 APRIL – Sebanyak 200 bungkus bubur kacang telah diagihkan kepada keluarga pelajar Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Lumut (SM PAPHRSB) sebagai sebahagian daripada projek anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut.
Projek yang berlangsung di kantin sekolah itu kelmarin, menyaksikan ibu bapa dan guru berkumpul untuk membungkus bubur kacang yang dimasak sendiri bagi diedarkan kepada ibu bapa dan penjaga yang akan menjemput anak mereka pada penghujung hari persekolahan.
Setiausaha PIBG, Awang Zini bin Haji Manam ketika ditemu bual berkata bahawa projek tersebut dapat membantu menyemarakkan lagi suasana bulan Ramadan yang mulia, di samping mengeratkan lagi hubungan antara ibu bapa dan pihak sekolah.
“Alhamdulillah, kami dapat membungkus sebanyak 200 bubur kacang, yang kami edarkan secara pandu lalu kepada ibu bapa dan penjaga yang menjemput anak mereka,” katanya.
Tambah beliau, PIBG sekolah akan terus menjalankan aktiviti amal serupa bukan sahaja di dalam sekolah malahan di seluruh daerah, kerana mereka merancang untuk melawat kawasan pedalaman di Daerah Belait bagi menyerahkan barang keperluan kepada mereka yang memerlukan.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/04/P7-3A-web_03042023.jpg)
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/04/P7-3D-web_03042023.jpg)