Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 12 MAC – Ahli-ahli daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah (SMPAPHRSB) tidak melepaskan peluang semasa bulan suci ini untuk memberikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan sebagai sebahagian daripada projek tahunan mereka, Projek Peduli Kasih.
Diadakan pada 8 Mac lalu, projek diketuai oleh pengerusinya, Awang Zini bin Haji Manan, yang menyaksikan persatuan tersebut mengunjungi kediaman lapan buah keluarga di kawasan Kampung Lumut untuk menyerahkan sumbangan berbentuk barang keperluan makanan.
Persatuan tersebut berharap projek berkenaan akan menjadi sebuah platform untuk menyemai dan membina budaya suka menderma, selain itu, ia juga untuk menanam sikap simpati dan empati kepada mereka yang kurang bernasib baik bersempena dengan bulan suci Ramadan.
