Oleh Daniel Lim
BELAIT, 30 OGOS – Sebagai sebahagian daripada usaha untuk memastikan para pelajar tetap bertenaga sepanjang hari persekolahan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Perdana Wazir (SMPW), Kuala Belait telah menjalankan Aktiviti Amal Mahabbah yang diadakan di kawasan kantin sekolah berkenaan, kelmarin.
Aktiviti berkenaan diadakan daripada hasil sumbangan yang dikumpulkan daripada ibu bapa dan penjaga serta guru dan kakitangan sekolah berkenaan, dengan tujuan untuk memastikan para pelajar terutamanya mereka yang kurang bernasib baik disediakan nutrisi supaya bertenaga semasa berada di sekolah.
Pengerusi PIBG SMPW bagi sesi 2019-2021 ketika ditemui menjelaskan bahawa program berkenaan telah diadakan sebelum ini dan ini merupakan kali ketiga ia diadakan pada tahun ini.
Beliau turut menekankan kepentingan untuk memastikan para pelajar bukan sahaja menerima pendidikan malah diet nutrisi harian mereka di sekolah, bukan sahaja bagi pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik tetapi juga semua pelajar sekolah.
Di samping itu, beliau juga menyatakan bahawa program itu juga bertujuan untuk memotivasikan pelajar di bilik-bilik kelas mereka dan maklum balas yang mereka terima daripada pelajar adalah positif dengan ramai yang melahirkan penghargaan kerana menerima makanan dan minuman yang diagihkan dalam program berkenaan.
Secara keseluruhannya, beliau berkata, lebih 300 pakej makanan dan minuman telah diagih-agihkan kepada para pelajar.
Menurutnya, program berkenaan akan terus dijalankan pada masa hadapan dan beliau berharap ia akan berfungsi sebagai platform untuk menyokong wawasan negara sementara mengeratkan hubungan antara guru-guru dan ibu bapa.
