Wednesday, March 19, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pichai dinamakan CEO Alphabet

    SAN FRANCISCO, 4 DIS – Pengasas bersama Google Larry Page dan Sergey Brin akan meletak jawatan daripada peranan mereka di firma induk Alphabet dan menyerah pucuk kepimpinan kepada CEO Google, Sundar Pichai, kata syarikat semalam.

    Pichai akan mengambil alih daripada Page sebagai CEO firma pegangan, syarikat gergasi di Silicon Valley yang termasuk Google serta unit yang menumpu pada ‘pertaruhan lain’ dalam bidang termasuk kereta pandu sendiri dan sains hayat.

    Page dan Brin, yang merupakan presiden Alphabet sekarang, “akan meneruskan penglibatan mereka sebagai pengasas bersama, pemegang saham dan ahli lembaga pengarah Alphabet,” kata syarikat.

    Dalam sepucuk surat kepada pekerja, kedua-duanya menulis: “Kami tidak pernah berpegang kepada peranan pengurusan apabila kami fikir terdapat cara yang lebih baik untuk menguruskan syarikat.”

    Mereka menambah Pichai, 46 tahun, ‘membawa semangat mendalam untuk teknologi kepada pengguna, rakan dan pekerja kami setiap hari’ dan ‘tidak adanya orang yang lebih baik untuk memimpin Google dan Alphabet pada masa depan.”

    Alphabet ditubuhkan pada 2015, memberikan identiti berasingan kepada Google dan projek lebih baharu seperti unit kereta automatik Waymo dan kumpulan bandar pintar Sidewalk Labs.

    Pichai, dilahir di India, menerajui tampuk pentadbiran pada masa apabila Page dan Brin, kedua-duanya 46 tahun, tidak hadir dan syarikat menghadapi pelbagai kontroversi berkaitan kedudukan berpengaruhnya dalam dunia teknologi.

    Pichai mungkin mengisi kekosongan di syarikat tatkala ia menghadapi siasatan pecah amanah dan kontroversi berhubung privasi dan amalan data di Amerika Syarikat dan tempat lain.

    Dalam beberapa tahun ini, Alphabet telah menjadi salah satu syarikat paling berharga di dunia, dengan keuntungan 2018 berjumlah AS$30 bilion berdasarkan pendapatan AS$136.8 bilion. – AFP

    Gambar fail bertarikh 7 Mei menunjukkan CEO Google Sundar Pichai bercakap ketika ucaptama persidangan Google di Mountain View, California. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda