Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pidato Kebangsaan 2025 angkat Bahasa Melayu

    Oleh Sim Y.H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Persembahan dan penyampaian pidato daripada Awang Anang Muhammad Fathur’rahman bin Anang Abdul Rahman berjaya untuk menambat hati panel hakim di mana beliau berjaya muncul sebagai johan bagi Pertandingan Peringkat Akhir Pidato Kebangsaan Brunei Darussalam sempena Sambutan Bulan Bahasa 2025 yang berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Awang Anang Muhammad Fathur’rahman johan Pertandingan Peringkat Akhir Pidato Kebangsaan menerima hadiah dari tetamu kehormat. – GAMBAR RAFI ROSLI

    Dalam ucapan alu-aluannya, Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab menyatakan bahawa pidato bukan sekadar seni berucap tetapi seni pemikiran.

    “Keindahan pidato terletak pada pemilihan kata, laras bahasa dan daya pengaruhnya. Bahasa Melayu yang kaya dengan nilai estetika dan ragam baku menjadi wahana menyampaikan ilmu, budaya dan pandangan bernas”.

    Di samping itu, Awang Suip berkata pertandingan juga membuktikan bahawa Bahasa Melayu terus relevan dalam dunia pekerjaan dan kehidupan bernegara.

    “Dewan Bahasa dan Pustaka akan terus komited memperkukuh kedaulatan Bahasa Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Negeri Brunei Darussalam 1959 bahawa Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Negara, melalui pelbagai program sepanjang tahun termasuk kegiatan-kegiatan Bulan Bahasa, Pesta Buku Brunei, kerjasama MABBIM dan MASTERA serta pemuliharaan khazanah manuskrip lama.”

    Acara diteruskan dengan penyampaian pidato daripada 5 orang peserta yang berjaya mara ke peringkat akhir setelah melalui peringkat saringan yang diadakan pada 14 Jun lalu.

    Salah seorang peserta menyampaikan persembahan pidato di pertandingan itu. – GAMBAR SERAHAN RAFI ROSLI

    Pertandingan Pidato Kebangsaan itu turut diteruskan dengan persembahan sketsa bahasa Melayu oleh Awang Mohd. Hairol bin Awang Haji Abdul Latiff dan seterusnya mendengarkan ulasan serta komentar daripada Pensyarah, Universiti Brunei Darussalam, Mohammed Zefri Ariff bin Mohammed Zain Ariff selaku Ketua Panel Hakim.

    Penilaian dilaksanakan melalui tiga aspek iaitu penilaian isi atau idea, bahasa dan teknik serta penyampaian yang memerlukan nilai tambah dan pembaikan pada masa akan datang.

    Acara kemuncak bagi pertandingan pidato berkenaan ialah pengumuman keputusan peringkat akhir Pertandingan Pidato Kebangsaan Brunei Darussalam sempena Sambutan Bulan Bahasa 2025 dan diteruskan dengan majlis penyampaian hadiah dan cenderamata kepada para pemenang, ahli panel hakim dan penyampaian persembahan yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi.

    Dalam pertandingan berkenaan, pemenang tempat pertama ialah Awang Anang Muhammad Fathur’rahman bin Anang Abdul Rahman yang memenangi wang tunai sebanyak $800.00, piala pusingan, piala, sijil penghargaan dan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

    Manakala tempat kedua ialah Dayang Syafiqah Mumtazah binti Haji Mohd Arriffen yang memenangi wang tunai sebanyak $600.00, plak, sijil penghargaan dan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka serta pemenang tempat ketiga ialah Dayang Muslimah binti Mahadi yang memenangi wang tunai sebanyak $400.00, plak, sijil penghargaan dan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

    Sementara itu, sagu hati keempat ialah Dayang Nuraqilah binti Mardi yang memenangi plak, sijil penghargaan dan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka serta sagu hati Kelima ialah Dayang Nur Ainul Hayati binti Ratna yang memenangi plak, sijil penghargaan dan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

    Antara yang hadir di majlis yang berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas, hari ini. – GAMBAR RAFI ROSLI
    Antara yang hadir di majlis yang berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas, hari ini. – GAMBAR RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda