Pengarah dan pelakon Malaysia, Pierre Andre menegaskan tidak cemburu dengan kejayaan diraih Syamsul Yusof dan adiknya, Syafiq Yusof yang kini memonopoli dunia perfileman Malaysia.
Menurut Pierre, 40, bukan sahaja cemburu, dia juga tidak berasa tercabar dengan pencapaian dua anak pengarah terkemuka, Datuk Yusof Haslam itu sebaliknya lebih bermotivasi untuk menjadi sutradara yang bagus.
“Saya tak rasa tersaingi dengan Syamsul dan Syafiq sebab hakikatnya musuh sebenar adalah diri sendiri.
“Saya selalu ‘berperang’ diri sendiri dan sejujurnya kejayaan mereka hari ini adalah inspirasi untuk menjadi pengarah lebih baik.
“Contohnya, Syafiq hasilkan sebuah filem (Blood Brothers) yang meraih kutipan tinggi yang ketika ini RM76 juta dalam tempoh 33 hari.
“Sebenarnya sewaktu menonton trailer filem itu pun sudah mampu mengutip RM30 juta dengan mudah. Jadi saya fikir, kalau dia boleh, saya juga mampu lakukannya cuma sekarang masih belum temui ‘kuncinya’,” katanya pada majlis Doa Selamat filem Nar’Sata Sekufu Setan, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Pierre berkata, dia sentiasa menerima segala kritikan orang ramai mengenai filem-filem arahannya sebelum ini seperti Jangan Pandang Belakang 2 dan Dajal. – Agensi

– Berita Harian Online