Wednesday, October 2, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pihak berkuasa AS bimbang komponen Boeing 737 berisiko keselamatan

    SAN FRANCISCO, 2 OKT – Pihak berkuasa pengangkutan Amerika Syarikat (AS) kelmarin memberi amaran bahawa sekurang-kurangnya 40 pengendali udara asing mungkin menggunakan pesawat Boeing 737 dengan komponen rudder yang berpotensi menimbulkan risiko keselamatan.

    Pengerusi Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB), Jennifer Homendy, dalam suratnya kepada Pentadbir Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), Mike Whitaker, menyuarakan kebimbangan bahawa pihak FAA tidak mengambil isu itu dengan serius sehingga laporan cadangan keselamatan segera dikeluarkan, meskipun terdapat risiko kehilangan kawalan pesawat atau pelanggaran landasan disebabkan sistem kawalan rudder yang tersekat atau terhad.

    “Saya berasa bimbang kerana FAA sebagai badan berkuasa tidak menanggapi isu ini dengan lebih serius sehingga laporan cadangan keselamatan segera dikeluarkan, walaupun terdapat risiko kawalan pesawat terjejas akibat masalah pada sistem rudder,” kata Homendy.

    Beliau juga meluahkan kekecewaan bahawa dalam tempoh enam bulan sejak NTSB mengeluarkan laporan awal mengenai insiden tersebut, FAA masih belum mengambil langkah segera untuk menangani masalah itu. Homendy turut menegaskan bahawa dakwaan FAA bahawa komponen yang terlibat sudah tidak lagi digunakan adalah tidak tepat berdasarkan maklumat terkini yang diperoleh daripada Boeing.

    Pada Khamis, NTSB mengeluarkan cadangan keselamatan kepada Boeing dan FAA berkaitan kemungkinan berlakunya kegagalan sistem kawalan rudder pada beberapa pesawat Boeing 737.

    NTSB sedang menyiasat satu insiden yang berlaku pada 6 Februari, di mana pedal rudder pada pesawat United Airlines Boeing 737-8 (varian MAX) didapati “tersekat” dalam kedudukan neutral semasa pendaratan di Lapangan Terbang Newark Liberty, New Jersey.

    Penyiasat NTSB menjalankan ujian pada actuator, salah satu komponen kawalan rudder daripada pesawat yang terlibat dalam insiden itu, di kilang pengeluar Collins Aerospace. Ujian dalam keadaan sejuk mendapati fungsi actuator terjejas secara signifikan. Collins Aerospace mengenal pasti bahawa galas yang disegel pada komponen tersebut telah dipasang secara tidak betul, menyebabkan bahagian yang tidak disegel lebih mudah terdedah kepada kelembapan yang boleh membeku dan mengganggu pergerakan sistem rudder. – Xinhua

    Pesawat Boeing 737 MAX di Renton, Washington. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda