Wednesday, March 5, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pihak berkuasa dua masjid suci pastikan kelancaran pergerakan jemaah sepanjang Ramadan

    MEKAH, 4 MAC – Pintu-pintu masuk Masjidil Haram memainkan peranan penting dalam mengawal aliran masuk dan keluar jemaah sepanjang Ramadan, bagi memastikan akses yang selamat dan lancar bagi semua pengunjung. 

    Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi bertanggungjawab mengawal selia pintu masuk itu bagi memudahkan pergerakan jemaah di dalam kawasan Masjidil Haram, lapor agensi berita Saudi (SPA).

    Beberapa pintu masuk khas telah ditetapkan bagi jemaah umrah, termasuk Pintu Raja Abdulaziz (1), Pintu Raja Fahd (79), Pintu Umrah dan Pintu Al-Salam (19).

    Selain itu, jambatan yang digunakan jemaah umrah di tingkat pertama termasuk Jambatan Al-Shubaika (64) dan Jambatan Ajyad (7). 

    Selain itu, laluan khas juga disediakan bagi jemaah wanita menerusi Pintu 70, 85, 86, 87, dan 89, serta bagi individu kurang upaya melalui Pintu 68, 69, 89, 93, 94, 114, dan 123, selain Jambatan Al-Marwah, Ajyad, Al-Safa dan Al-Shubaika. 

    Pintu 7 dikhaskan bagi kawasan solat jenazah, manakala Pintu 5 digunakan untuk laluan keluar jenazah. Pintu 13 dan 14 pula diperuntukkan khusus bagi kecemasan. 

    Langkah pengurusan terbabit bertujuan meningkatkan kecekapan dalam mengawal pergerakan jemaah, sekali gus memastikan keselesaan lebih baik bagi jemaah umrah sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.  – Bernama

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda