MANILA, 28 MEI – Foto seorang budak lelaki mengemis di ibu negara Filipina menggunakan kod QR tular di media sosial, mendorong sebuah badan kerajaan mengeluarkan amaran kemungkinan sindiket menggunakan kanak-kanak untuk menipu orang ramai, lapor Xinhua.
Seorang saksi yang terserempak dengan kanak-kanak berkenaan berkata pengemis itu mengeluarkan kod QR apabila diberitahu mereka tidak mempunyai syiling.
“Kami ketawa pada mulanya, jadi kami menyemak sama ada kod QR berfungsi, dan ia terbukti wujud, dinamakan sempena Beverly tertentu,” menurut catatan di Facebooknya.
“Ada sindiket di sebalik kegiatan ini. Sindiket mengangkut pengemis ini dalam van, menempatkan mereka di jalanan, dan mengumpulkan mereka pada waktu malam,” kata naib pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Kemiskinan Kebangsaan (NAPC) Reynaldo Tamayo kepada televisyen tempatan.
Sementara itu, ibu bapa kepada kanak-kanak yang mengemis di jalanan boleh dikenakan denda dan penjara tidak lebih dua tahun jika terbukti bersalah, katanya.
Pihak Berkuasa Perangkaan Filipina berkata 18.1 peratus daripada hampir 110 juta penduduk Filipina hidup di bawah paras kemiskinan. – Bernama