BEIJING, 23 DIS – China telah mengurus semula pengeluaran bekalan ubat-ubatan di seluruh negara ketika negara itu bergelut untuk mendapatkan ubat-ubatan asas dan kit ujian semasa berdepan dengan peningkatan kes COVID.
Farmasi di bandar-bandar utama mengalami kehabisan bekalan susulan tindakan mengejut kerajaan China untuk melonggarkan sekatan COVID.
Pihak berkuasa menyeru mereka yang mengalami gejala ringan untuk berada di rumah dan membuat rawatan kendiri, mengakibatkan kehabisan bekalan ubat-ubatan termasuk ibuprofen dan kit ujian pantas antigen.
Bagi mengatasi kekurangan bekalan di seluruh negara, lebih daripada belasan firma farmaseutikal telah diminta oleh kerajaan untuk membantu ‘mendapatkan bekalan’ ubat-ubatan penting, menurut temu bual AFP dan media tempatan.
Sekurang-kurangnya 11 daripada 42 buah syarikat pengeluar kit ujian yang produk mereka dilesenkan oleh penyelia perubatan China menyatakan bahawa sebahagian daripada produknya dirampas oleh kerajaan atau menerima tempahan daripada kerajaan, menurut laporan media tempatan.
Wiz Biotech, pengeluar kit ujian pantas di bandar selatan Xiamen, kelmarin mengesahkan kepada AFP bahawa kesemua kit yang mereka hasilkan akan diambil semula oleh kerajaan tempatan.
Di Beijing, pihak berkuasa telah menghantar kakitangan tambahan ke enam buah kilang pengeluar kit antigen bagi membantu mereka ‘meningkatkan penghasilan’, pihak perbandaran berkata dalam laman web mereka.
Sementara itu, di seluruh China, berjuta-juta penduduk bergelut untuk mendapatkan bekalan perubatan asas.
“Seluruh ahli keluarga saya sakit dan saya tidak dapat membeli ubat-ubatan,” kata salah seorang penduduk di Chengdu kepada AFP. – AFP