KAJANG, 29 JUN – Pihak luar sama ada individu atau kumpulan dan badan bukan kerajaan (NGO) digalak memberikan tajaan mahupun sumbangan dana bagi membiayai pengajian banduan yang ingin menyambung pelajaran mereka di peringkat diploma atau ke peringkat lebih tinggi.
Pengarah Penjara Kajang, Mohd Roslen Ramli berkata ramai banduan yang menyatakan hasrat untuk menyambung pengajian mereka namun menghadapi masalah kewangan dalam membayar yuran.
“Mereka nak sambung belajar tetapi tiada wang. Jadi, dengan memperoleh tajaan atau sumbangan daripada pihak luar, mereka boleh bayar yuran pengajian,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata dengan taraf pendidikan yang lebih baik, banduan yang akan dibebaskan nanti mempunyai peluang cerah dalam mempunyai kerjaya selain kemahiran dipelajari ketika rawatan dan pemulihan di dalam penjara.
“Mereka (banduan) juga mempunyai masa depan apabila dibebaskan kelak. Apabila ada kelulusan pendidikan peringkat yang lebih tinggi, ada kemungkinan menarik majikan untuk menggajikan mereka bekerja. – Bernama
