Pihak pemisah Yaman kuasai pulau Socotra

ADEN, 21 JUN – Pihak pemisah Selatan Yaman telah menguasai pulau Socotra yang strategik, yang dikawal oleh pasukan pro-kerajaan, dan telah mulai melaksanakan pemerintahan sendiri, kata para pegawai kedua-dua pihak.

Langkah pada hujung minggu ini telah menjejaskan krisis ini dengan lebih mendalam antara pihak pemisah dan kerajaan selepas kegagalan perjanjian pembahagian kuasa di kawasan luar kawalan pemberontak Huthi, yang menguasai bandar Sanaa dan sebahagian besar Utara Yaman.

Majlis Peralihan Selatan (STC) mengumumkan pemerintahan sendiri di selatan Yaman pada 26 April, menuduh kerajaan gagal untuk menjalankan tanggungjawab dan ‘berkonspirasi’ menentang perjuangan mereka.

Pegawai tinggi STC, Salem Abdullah al-Socotri mengucapkan tahniah kepada pasukan pemisah kerana ‘menormalkan keadaan’ di Socotra, dalam kenyataan yang dikeluarkan lawat kelmarin.

Jurucakap kerajaan berkata STC telah melakukan ‘rampasan kuasa penuh’ di pulau Lautan Hindi, yang terletak berhampiran dengan laluan pelayaran utama dan terkenal dengan kepelbagaian biologi.

Pejuang telah menyasarkan institusi negara dan menyerbu kem tentera dan kawasan kerajaan, katanya, menurut agensi berita rasmi Saba.

Dia mengelar gabungan ketenteraan pimpinan Arab Saudi – yang campur tangan dalam perang Yaman pada tahun 2015 untuk menyokong kerajaan menentang pemberontak Huthi yang disokong oleh Iran – untuk menghentikan ‘gangguan, kekacauan dan serangan’ STC dan memaksa mereka melaksanakan perkongsian kuasa Perjanjian Riyadh yang ditandatangani Disember lalu.

Gabenor Socotra, Ramzy Mahrous, berkata pasukan STC ‘menggulingkan’ institusi negara, selepas ‘mereka menyerbu bandar Hadibou’, kota pulau itu.

Sumber tentera memberitahu AFP yang STC mengawal pulau itu kelmarin selepas sebuah operasi yang bermula sehari sebelumnya, dan hanya pertempuran terhad dengan pasukan prokerajaan.

Pejuang STC telah memasuki Hadibou dan mendirikan pos kawalan, menurut sumber. – AFP