MELAKA, 6 JULAI – Pihak sekolah terutama sekolah berasrama di negeri ini digesa tidak menyembunyikan sebarang insiden atau kes buli termasuk penderaan dalam kalangan pelajar mereka bagi mencegah kejadian lebih buruk berlaku.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka Datuk Rahmad Mariman berkata tindakan tegas akan diambil kepada pihak sekolah yang menyembunyi atau membiarkan perbuatan berkenaan berlaku terutama sehingga mengancam nyawa pelajar.
Beliau berkata langkah melaporkan perbuatan buli kepada pihak berkuasa bertujuan mengekang kejadian yang lebih buruk terhadap mangsa seperti trauma sehingga memberi kesan negatif pada kehidupan pelajar berkenaan.
“Kes buli ini tidak membawa sebarang kebaikan kepada pelajar sama ada mangsa atau pembuli dan kebanyakan kes buli atau ragging ini berlaku semasa sesi orientasi antara pelajar senior dan junior.
“Namun, di sesetengah sekolah terutama di sekolah asrama perbuatan ini menjadi kebiasaan dan berpanjangan selepas berakhir sesi orientasi sehingga memberi kesan fizikal dan mental kepada mangsa,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Agensi Agama Islam Negeri Melaka, hari ini. – Bernama