KUCHING, 13 FEB – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah menerima peruntukan berjumlah RM2.45 juta yang disumbangkan oleh syarikat-syarikat swasta bagi meneruskan usaha mengurus serta menangani situasi banjir di negeri itu.
Timbalan Premier yang juga Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata laporan nilai kerosakan akibat bencana banjir akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet Rabu depan.
“Sehingga kini kerajaan Persekutuan telah menyalurkan (sumbangan) RM12.8 juta dari pejabat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), dan Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) juga telahpun memberi peruntukan tambahan RM10 juta, dan kita ada juga menerima bantuan daripada syarikat swasta.
“Premier juga telah meminta untuk saya bentangkan penilaian kerosakan akibat banjir ini dan kita juga akan majukan perkara ini kepada pejabat Perdana Menteri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menjelaskan situasi kerosakan, seperti kos pemulihan infrastruktur dan jalan raya yang rosak sehingga menyebabkan jalan terputus,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena majlis penyampaian sumbangan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) kepada kerajaan Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Uggah berkata bencana yang melanda negeri itu sejak Januari lepas seperti banjir, tanah runtuh dan kebakaran telah menyebabkan sejumlah 86 pusat pemindahan sementera (PPS) dibuka, melibatkan 4,966 isi rumah dan 16,700 mangsa.
Sementara itu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata YKN menyalurkan RM300,000 kepada Kerajaan Negeri Sarawak di bawah Bantuan Bencana Banjir Sarawak 2025.
Beliau berkata sumbangan berkenaan merupakan hasil kerjasama erat dengan pihak korporat dan individu yang prihatin terhadap kebajikan mangsa bencana. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P9-3CBERNAMA_14022025.jpg)