Friday, March 14, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pikat ikan guna gewang rekaan sendiri

    Oleh Amri HTZ

    Gewang pancing jenis sesudu begitu terkenal digunakan terutama bagi mencari ikan pemangsa air tawar yang begitu agresif seperti toman, bujuk dan haruan.

    Selain ikan pemangsa, jenis-jenis ikan yang mendiami hulu sungai yang berair deras dan jernih juga menjadi buruan para pemancing memandangkan ‘mainan’ yang diberikan oleh ikan-ikan tersebut cukup menakjubkan. Kilauan terhasil daripada gewang jenis sesudu menjadi pemikat ikan untuk menyambar umpan tiruan yang digunakan.

    Kelengkapan penting yang diperlukan

    Sesudu atau spoon untuk gewang pancing yang diperbuat daripada syiling (warna tembaga atau perak) ini hanya memerlukan beberapa barangan bagi merekanya seperti mesin gerudi, playar (long nose plier), pen penanda, kikir besi, bolt, tukul, cecincin gewang, sebatang kayu berukuran 2″ x 4″, pengepit kayu atau vise, blow torch, gelungan wayar keluli, kertas pasir berukuran 800 grit dan mata kail serta kekili.

    Reka, guna dan koleksi

    Bagi langkah pertama pembuatan, panaskan syiling yang disediakan menggunakan blow torch sehingga menjadi warna kemerah-merahan. Dalam keadaan tersebut, tukul secara perlahan bahagian tengah syiling sehingga ia berubah bentuk menjadi membujur. Ketika proses mengetuk syiling, pastikan anda tidak menumpukan hanya satu kawasan yang hanya menyebabkan syiling menipis dengan tidak rata selain menjadikannya berlubang.

    Jika sukar untuk mendapatkan bentuk membujur seperti yang boleh dilihat pada gambar yang disertakan, gunakan mesin pemotong besi (grinder) untuk mendapatkan bentuk tersebut setelah melakarkannya menggunakan pen penanda. Bersihkan permukaan potongan menggunakan kertas pasir agar tidak terdapatnya permukaan yang menajam.

    Ukuran dan jenis mata kail yang akan digunakan untuk sesudu yang bakal direka.
    Barangan yang diperlukan untuk mereka gewang jenis sesudu daripada syiling.
    Proses mengetuk syiling untuk menjadikannya melengkung.
    Kepala bolt yang digunakan perlu diratakan permukaannya menggunakan kikir besi.

    Apabila sudah mendapatkan bentuk membujur tersebut, tempatkan kayu berukuran 2″ x 4″ pada meja kerja dan kekalkan kedudukannya menggunakan pengepit kayu atau vise. Kayu yang disediakan ini akan digunakan sebagai alas untuk mengetuk syiling menggunakan kepala bolt bagi mendapatkan bentuk melengkung sesudu.

    Sebelum mengetuk syiling menggunakan bolt yang disediakan, pastikan kepala bolt yang digunakan adalah dalam bentuk membulat dan tanpa memiliki sebarang cap di permukaannya. Jika terdapatnya cap dalam bentuk huruf atas permukaannya, ia perlu dibuang dan diratakan terlebih dahulu menggunakan kikir besi. Ini adalah bagi memastikan ketika proses melengkungkan syiling, bolt yang diketuk tidak akan meninggalkan sebarang bekas pada permukaan syiling sekali gus mencacatkannya (kurang menghasilkan kilauan).

    Mulakan proses mengetuk pada bahagian tengah secara perlahan dan perhatikan lekukan yang dihasilkan setiap empat kelima ketukan sambil menyeret bahagian ketukan ke sudut hujung syiling (kedua-dua sudut).

    Lengkungan syiling tidaklah tertakluk kepada bentuk melengkung satu arah. Terdapat sesudu yang direka dengan cara berlainan untuk memberikan gerakan gewang yang unik dan mampu memancing minat ikan yang diburu. Setelah mendapatkan bentuk yang diinginkan, pasangkan cecincin gewang yang disediakan pada bahagian depan dan belakang.

    Jika cecincin untuk gewang pancing sukar atau terlalu mahal untuk didapatkan, penggunaan gelungan keluli pancing juga boleh digunakan bagi mereka cecincin tersebut. Pilih ukuran keluli yang bersesuaian dengan diameter lebih kurang 1.2mm hingga 1.5mm. Caranya adalah dengan mengepit wayar keluli menggunakan playar (round mouth plier) dan memutarkannya mengikut ukuran cecincin yang diperlukan, dalam projek ini cecincin berukuran 5mm diperlukan.

    Selain menggunakan playar round mouth, cecincin keluli tersebut juga boleh direka menggunakan paku. Dengan cara melantakkan paku pada sebatang kayu, gelungkan wayar keluli pada badan paku dengan ketat dan rapat.

    Ini memastikan wayar keluli tersebut kekal dalam keadaan tergulung rapi tanpa mempunyai ruangan kosong di antara wayar yang mampu menjejaskan tali pancingan atau lontaran gewang disebabkan tali pancing menyelusup ke dalam ruangan tersebut.

    Apabila berjaya mereka cecincin tersebut, langkah terakhir hanya memerlukan anda untuk memasukkan mata kail pada cecincin bahagian belakang gewang dan kekili pada cecincin bahagian depan. Selain digunakan untuk memburu ikan idaman, gewang jenis sesudu yang dihasilkan juga boleh dijadikan koleksi memandangkan permukaan gewang terpapar ukiran syiling yang unik selain boleh dijadikan sebagai hadiah kepada rakan-rakan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda