Oleh Raz AS –
Ikan tenggiri merupakan spesies ikan palegik yang biasa ditemui di kawasan-kawasan takat di perairan negara. Renangan sang tenggiri yang padu seakan torpedo di bawah air menjadikannya antara spesies gamefish yang diminati oleh ramai pemancing di seluruh dunia.
Selain boleh dipikat dengan kaedah menggunakan umpan hidup, sesudu, tundaan dan sebagainya, ikan ini seronok dipancing menggunakan kaedah jigging. Bagi pemancing-pemancing baharu yang berangan-angan ingin menumbangkan ikan tenggiri menggunakan kaedah jigging, peralatan yang bersesuaian perlulah digunakan.
Kaedah jigging boleh memakan banyak tenaga dan meletihkan sekiranya peralatan yang digunakan kurang sesuai. Bukan itu sahaja, peralatan yang kurang sesuai juga boleh mengurangkan peluang awda untuk memperoleh mahupun untuk menumbangkan sang tenggiri.
Meskipun kaedah slow jigging boleh digunakan untuk memikat tenggiri, namun kaedah yang paling efektif untuk memburu ikan palegik seumpamanya adalah dengan menggunakan kaedah mechanical jigging atau lebih dikenali sebagai speed jigging.
Pertama sekali, joran yang digunakan perlulah joran yang direka khusus untuk kaedah jigging. Joran jigging mempunyai bahagian bawah yang panjang bagi memudahkan pemancing untuk melawan ikan dan mempersembahkan umpan jig, menggunakan bahagian tersebut sebagai leverage.
Untuk speed jigging, batang joran pendek, panjang 6 kaki dan ke bawah, adalah lebih sesuai digunakan. Ini bukan bermaksud joran panjang tidak boleh digunakan, tetapi batang panjang boleh cepat meletihkan pemancing.
Bayangkan sahaja awda mengikat batu bata di hujung galah panjang kemudian cuba mengangkatnya dengan memegang bahagian hujung yang lain.
Batu-bata tadi yang senang-senang dapat awda angkat dengan sebelah tangan sahaja sebelumnya akan terasa berat berlipat ganda. Semakin panjang galah itu semakin berat awda akan rasakan.
Begitulah juga dengan jigging, meski berat besi jig yang digunakan kurang daripada setin kecil sardin 125 gram pun boleh terasa sangat berat di hujung joran apatah lagi apabila ditambah dengan rintangan air daripada arus dan kedalaman perairan tempat awda memancing.
Semakin kuat arus semakin terasa berat jig tersebut, semakin dalam perairan tempat awda memancing semakin berat juga jig itu. Apabila ditambah dengan kedua-dua faktor tersebut, maka jig awda akan terasa sangat berat.
Selain itu, penulis lebih mensyorkan penggunaan joran yang mempunyai tulang belakang yang kuat, yang mana ia akan melantun balik ke atas apabila joran diangkat ketika melakukan aksi jigging. Ini bukan sahaja membuatkan pemancing lebih mudah untuk melakukan hook set bahkan aksi jig akan lebih hidup.
Joran yang terlalu lembut akan bertindak sebagai penyerap sentakan dan boleh membuatkan jig awda kurang aksi dan pergerakan terutama jika jig berat digunakan atau jigging di perairan dalam.
Sementara kekuatan joran pula, bergantung pada kedalaman tempat memancing dan berat jig yang digunakan, tetapi dalam konteks negara ini, di mana sang tenggiri boleh didapati di kawasan berdekatan pesisir, yang rata-rata mempunyai tahap kedalaman kira-kira 100 kaki ke bawah, cukup menggunakan joran power 1 atau 2 yang mempunyai rating tali antara PE 0.8 dan 2.0, dengan jig maksimum 200 gram ke bawah, iaitu joran di bawah kategori light jigging atau super light jigging.
Bagi pemilihan reel pula, juga bergantung pada kedalaman air iaitu seberapa banyak tali yang awda perlukan, bagi light jigging dan super light jigging, spinning reel bersaiz antara 2500 hingga 4000, mahupun 5000 bergantung jenama dan model, sudah cukup untuk menduga tenggiri di perairan negara.
Sesetengah model spinning reel berkongsi badan yang sama namun yang membezakan adalah saiz spool talinya. Contohnya reel saiz 2500 mempunyai ukuran badan yang sama dengan saiz 3000, sementara ukuran badan reel 4000nya pula sama dengan saiz 5000.
Ditambah lagi, sesetengah pengilang reel menghasilkan ukuran saiz yang tidak sama, bukan sahaja tidak sama dengan jenama lain bahkan kadang-kadang berbeza dengan reel buatan mereka sendiri daripada model lain. Ada yang lebih kecil mahupun sebaliknya meski kedua-duanya memaparkan nombor saiz yang sama.
Apa yang penting reel yang awda gunakan mempunyai sistem drag yang berkualiti, tidak perlu drag kuat asalkan ia dapat berfungsi dengan baik dan lancar, bermaksud pusingan spool tidak tersekat-sekat ketika drag berfungsi sementara tali ditarik keluar oleh renangan ikan, kekuatan tinggi drag kurang relevan sekiranya ianya tidak lancar, dan sebaik-baiknya reel tersebut tahan air masin.
Nisbah putaran gear tidak perlu terlalu tinggi, meskipun keadah ini dinamakan sebagai speed jigging tetapi tidak semestinya reel yang digunakan perlu berkelajuan tinggi. Nisbah putaran gear rendah seperti 5.2:1 atau 4.4:1 lebih ringan untuk digulung, berbanding reel yang bernisbah tinggi, selalunya nisbah dalam lingkungan rendah ini dikenali sebagai power gear atau PG.
Selalunya pemancing yang menggulung laju menggunakan reel bernisbah rendah akan dapat bertahan lebih lama daripada berasa letih berbanding mereka yang menggunakan reel bernisbah tinggi. Nisbah tinggi lebih sesuai untuk pancingan cetek dan permukaan atau melontar lure.
Penggunaan tali sulam atau braided line pula adalah satu kemestian. Tali sulam yang bersifat sifar renggangan diperlukan untuk memudahkan pemancing memberikan input aksi pada jig, dan diameternya yang halus memudahkannya membelah air untuk jig turun ke dasar dan tidak mudah dihanyutkan arus.
Tali sulam berkekuatan 15lb-20lb yang disambung dengan shockleader 30lb panjang dua depa atau 10 kaki sudah mencukupi, tetapi sekiranya awda mendapati perambut selalu putus akibat disambar tenggiri atau alu-alu yang bergigi tajam, awda bolehlah menyambungkan perambut dawai kira-kira panjang 3 inci di hadapan jig awda.
Jig berprofil panjang sememangnya ampuh memikat ikan tenggiri, bagi pemilihan berat bergantung pada tahap kedalaman dan kekuatan arus tempat memancing, tetapi secara amnya jig berat antara 40 gram hingga 80 gram lazim digunakan di negara ini.
Apabila sampai ke tempat memancing awda bolehlah cuba menurunkan jig paling ringan terlebih dahulu, sekiranya hanyut bolehlah menggantikannya dengan jig yang lebih berat dengan perlahan-lahan sehingga berat sesuai ditemukan. Menggunakan jig yang terlalu berat daripada yang diperlukan boleh menyebabkan awda cepat letih.
Bentuk badan jig juga memainkan peranan dalam faktor ini. Jig yang berbadan tirus lebih mudah sampai ke dasar sementara yang berbadan lebar lebih mudah dihanyutkan arus kuat.
Oleh itu sebelum menaikkan berat jig, cuba tukarkan jig kepada bentuk yang lebih tirus dengan berat yang sama.
Assist hook bagi jig awda perlu diikat dengan tali jenis kevlar atau dawai, itu pun tidak menjamin yang mata kail tidak akan terputus akibat gigi tajam sang tenggiri. Periksa tali assist hook setiap kali selepas mendaratkan tenggiri atau merasa sambaran di hujung joran.
Sekiranya tali sudah berbulu gantikan dengan yang baharu. Begitu juga dengan perambut, jika perambut luka, sama ada terkena gigi ikan atau takat, potong bahagian tersebut dan ikat semula jig awda bagi mengelakkan berputih mata.
Teknik keadah jigging tenggiri sangat senang, awda boleh menggulung laju terus sambil menghenjut-henjutkan hujung joran. Tetapi ia tidak terhad pada itu sahaja. Speed jigging tidak semestinya jig harus digulung laju sentiasa untuk ia membuahkan hasil.
Contohnya salah satu teknik kegemaran penulis jika ikan tidak menyambar jig setelah berulang kali melakukan gulungan laju terus, penulis akan memperlahankan kelajuan gulungan sedikit demi sedikit, sekali-sekala disertakan dengan berhenti seketika dan diselangselikan dengan hujung joran diangkat tinggi ketika gulungan dihentikan dan pelahan-lahan diturunkan mengikut jig yang jatuh.
Semasa ikan kurang mood untuk mengejar jig, teknik ini jarang mengecewakan penulis kerana sering kali jig akan disambar ketika ia jatuh atau ketika gulungan dimulakan semula.
Perlu diingat, selain daripada sambaran ganas, sekiranya tali mula kendur dan berkumpul di permukaan ketika jig jatuh ke bawah tetapi belum sampai ke dasar itu adalah petanda jig awda telah disambar ikan. Awda perlu cepat-cepat mengencangkan tali dan melakukan hookset.
Tidak ada cara yang betul atau salah, awda boleh bereksperimentasi dengan pelbagai tahap kelajuan gulungan, gaya dan cara, cari apa yang dimahukan ikan pada ketika itu kerana apa yang berhasil pada hari ini tidak semestinya akan berhasil esok.