Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pikul cabaran dengan sikap penuh tanggungjawab

    Oleh Pg Fairol RMF

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – Tuntutan ke atas seorang pemimpin sekolah pada masa ini sangatlah mencabar dan harus dipikul dengan sikap penuh tanggungjawab kerana kejayaan sesebuah sekolah dan pelajarnya terletak di atas bahu pemimpin sekolah itu.

    Oleh itu, amat penting bagi sekolah untuk merancang dan melaksanakan strategi bagi mengenal pasti pelajar yang memerlukan bantuan dan seterusnya merancang dan melaksanakan program yang tepat dan betul pada peringkat awal.

    Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman berkata demikian pada Majlis Penyampaian Insentif Sekolah bagi Peningkatan Pencapaian dalam Penilaian Sekolah Rendah (PSR), Peperiksaan GCE Peringkat ‘O’/IGCSE dan ‘A’.

    “Dari itu, adalah diharapkan peningkatan prestasi sekolah dihasilkan secara konsisten dan dipertahankan dari setahun ke setahun,” kata Menteri Pendidikan pada majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Sekolah Menengah Rimba II, hari ini.

    Selain harapan pencapaian sekolah yang konsisten, usaha-usaha perlu dibuat bagi mengekalkan penglibatan ibu bapa dan komuniti dalam aktiviti sekolah.

    Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dan Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar semasa menghadiri majlis penyampaian insentif, kelmarin.
    Menteri Pendidikan ketika menyampaikan ucapan.

    “Harapan kementerian ialah supaya ‘ringan sama dijinjing dan berat sama dipikul’ dapat dibudayakan kerana komuniti dan ibu bapa adalah penyumbang terpenting untuk memajukan institusi pendidikan,” kata beliau.

    Menurut beliau lagi, pencapaian yang baik dalam pendidikan adalah agenda utama dalam menjamin kemajuan sesebuah negara dan hal ini lazimnya diukur melalui pencapaian akademik.

    Bagi mencapai sasaran, kita memerlukan pembentukan satu sistem kukuh yang boleh dibina melalui kerjasama dan kolaborasi antara jabatan dan unit dalam kementerian dengan sektor-sektor lain sama ada dalam atau luar Kementerian Pendidikan.

    “Adalah sangat difahami pembentukan ekosistem yang boleh menyatukan semua inisiatif di mana semua bahagian, unit dan pelbagai sektor memainkan peranan masing-masing bagi mencapai sasaran,” tambah Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.

    Perkara ini menuntut komitmen dan kesungguhan daripada banyak pihak untuk menjadikannya berfungsi secara teratur, terarah dan berkesan.

    “Dalam hubungan ini, kita perlu meneruskan langkah dan berusaha untuk mencapai sasaran kita di Kementerian Pendidikan dengan sentiasa berfikiran positif dan optimis,” tegas beliau.

    Para pemimpin sekolah yang mempunyai visi untuk melihat sekolah mereka berjaya sudah tentu berusaha dengan melaksanakan apa jua inisiatif sama ada dari Kementerian Pendidikan, ketua-ketua kluster atau hasil kongsisama antara para pemimpin sekolah.

    Untuk mencapai semua itu, penglibatan semua pihak terutama guru-guru adalah mustahak dan tidak cukup jika setakat menggunakan masa dalam kelas hanya untuk rancangan pembelajaran masing-masing tanpa berusaha memastikan setiap pelajar boleh mengikutinya.

    “Dalam keghairahan melaksanakan tugas dan tanggungjawab diamanahkan di samping kesibukan yang terhasil daripada berbagai faktor, kita hendaklah juga sentiasa peka mengenai tugas utama kita di Kementerian Pendidikan. Seperti juga kementerian yang lain, kita mempunyai komitmen dan tanggungjawab yang sangat besar dalam merealisasikan Wawasan 2035,” tambah Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.

    Anugerah Insentif Sekolah ini diadakan untuk memberikan penghargaan kepada sekolah-sekolah yang mencapai sasaran Kementerian Pendidikan dan juga menunjukkan peningkatan pencapaian dalam peperiksaan awam PSR, GCE ‘O’ Level dan GCE ‘A’ Level.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda