LONDON, 2 JULAI – Novak Djokovic dua kali menerima rawatan daripada doktor kerana masalah perut dan diberikan apa yang disifatkannya sebagai ‘pil ajaib’ semasa kemenangan 6-1, 6-7 (7), 6-2, 6-2 ke atas Alexandre Muller dalam pusingan pertama Wimbledon semalam.
Djokovic memerlukan masa rehat ketika ketinggalan 2-1 dalam set ketiga di gelanggang utama dan dilihat sekali lagi menerima rawatan pada set tersebut.
“Saya rasa pada awalnya saya berada dalam keadaan terbaik selama satu set setengah, kemudian tiba-tiba menjadi sangat lemah selama kira-kira 45 minit,” kata Djokovic.
“Sama ada ia disebabkan virus perut — saya tidak pasti, tetapi saya benar-benar bergelut.
Tenaga saya kembali selepas mengambil pil ajaib daripada doktor dan saya berjaya mengakhiri perlawanan dengan baik.”

Kemenangan itu menyaksikan Djokovic melanjutkan rekod kepada 20-0 dalam perlawanan pembukaan di Kelab All England, di mana dia telah menjuarai tujuh daripada 24 gelaran Grand Slam yang dimilikinya.
Dia mara ke final dalam enam edisi terakhir kejohanan tersebut, walaupun tewas kepada Carlos Alcaraz pada peringkat akhir tahun 2023 dan 2024. “Saya tidak akan berada di sini jika saya tidak percaya saya ada peluang. Saya rasa saya sentiasa ada peluang. Saya rasa saya sudah meraih hak untuk percaya bahawa saya mampu mara sehingga ke gelaran juara,” kata pemain berusia 38 tahun dari Serbia itu.
“Saya sentiasa merasakan bahawa rumput, terutamanya dalam separuh kedua kerjaya saya, adalah permukaan di mana saya bermain tenis terbaik saya. Jadi kenapa tidak lakukannya sekali lagi?”
Djokovic berjaya mengelakkan kejutan awal yang melanda kejohanan dalam dua hari pertama: sebanyak 23 pemain pilihan – 13 lelaki dan 10 wanita – telah pun tersingkir, menyamai jumlah tertinggi penyingkiran di peringkat awal Grand Slam sejak 2001, tahun di mana format pilihan seramai 32 pemain diperkenalkan dalam acara perseorangan.
Adakah dia pernah mempertimbangkan untuk berhenti bermain kerana keadaan kesihatannya malam itu?
“Tidak,” jawabnya. “Saya sejujurnya langsung tidak memikirkan tentang itu atau menganggapnya sebagai pilihan.”
Djokovic memperoleh 27 peluang mata break ke atas Muller yang tidak disenaraikan sebagai pilihan dan berjaya menyempurnakan tujuh daripadanya. Sepanjang perlawanan selama tiga jam 19 minit itu, Djokovic hanya berdepan tiga peluang break daripada Muller — semuanya pada set terakhir — dan dia berjaya menyelamatkan kesemuanya.
“Saya menghasilkan beberapa servis yang sangat baik,” kata Djokovic, yang akan menentang wakil tuan rumah, Dan Evans, pada Khamis. “Secara keseluruhan, servis saya sangat baik hari ini. Itu antara perkara yang saya telah usahakan.” – AP

