Khamis, November 20, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pil harian bantu turunkan 10% berat badan dalam 18 bulan

    PARIS, 20 NOV – Satu pil harian yang lebih murah dan mudah diambil berbanding ubat penurunan berat badan sedia ada membantu orang ramai menurunkan kira-kira satu persepuluh berat badan mereka dalam tempoh hampir 18 bulan, menurut satu kajian hari ini.

    Generasi baharu ubat penahan selera makan yang dipanggil agonis GLP-1, termasuk jenama popular Ozempic dan Mounjaro, menjadi amat popular dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Namun, rawatan ini memerlukan suntikan berkala, penyimpanan sejuk dan boleh menjadi sangat mahal.

    Dengan jumlah wang yang besar dipertaruhkan, syarikat farmaseutikal berlumba-lumba menjadi yang pertama memasarkan tablet yang lebih mudah tetapi memanfaatkan kuasa penurunan berat badan, iaitu GLP-1.

    Kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet hari ini menguji ubat baharu tanpa jarum dipanggil orforglipron, dibangunkan oleh gergasi farmaseutikal Amerika Syarikat, Eli Lilly, yang juga menghasilkan Mounjaro.

    Lebih 1,500 orang dewasa dari 10 negara yang menghidap obesiti dan diabetes jenis 2 mengambil tablet itu setiap hari berserta nasihat untuk mengamalkan diet sihat dan bersenam.

    Peserta yang mengambil dos tertinggi sebanyak 36 miligram menurunkan kira-kira 10 peratus berat badan mereka selepas 72 minggu, berbanding dua peratus bagi kumpulan yang mengambil plasebo, menurut kajian itu.

    Keputusan itu serupa dengan kajian yang diterbitkan awal tahun ini yang mendapati orang yang menghidap obesiti tetapi tanpa diabetes menurunkan sekitar 12 peratus berat badan semasa mengambil pil tersebut.

    Namun, angka ini masih jauh di bawah 22 peratus berat badan yang diturunkan oleh mereka yang mengambil Mounjaro secara suntikan mingguan dalam tempoh sama.

    Kesan sampingan yang dilaporkan semasa ujian terkini mencerminkan kesan yang telah diperhatikan untuk ubat GLP-1 suntikan, termasuk loya, muntah, sembelit dan cirit-birit, terutamanya pada dos tinggi. – AFP

    Gambar Freepik

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda