Saturday, November 23, 2024
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pilih jadi vegetarian untuk tangani perubahan iklim

    BERLIN – Florian Busmann sebelum ini gemar memakan sosej dan stik yang disalai semasa musim panas, tetapi kini dia lebih menyukai gantian daging dan memanggang sayur-sayuran seperti terung dan lada.

    “Mengurangkan makan daging pastinya menyumbang kepada alam sekitar dan haiwan. Dan ia juga menyihatkan,” kata kakitangan kerajaan tempatan berusia 28 tahun kepada AFP semasa Festival Musim Panas Vegan di Berlin.

    Meskipun terkenal sebagai pencinta sosej dan schnitzel, penduduk Jerman kini semakin kurang memakan daging sejak beberapa tahun kebelakangan.

    Angka yang dikongsikan oleh Kementerian Pertanian Jerman menunjukkan pengambilan daging menurun kepada 52 kilogram (kg) setiap seorang pada 2022, angka terendah sejak pengiraan dilakukan pada 1989.

    Sebagai perbandingan, kira-kira 61kg dimakan setiap seorang lima tahun lalu.

    Kebimbangan mengenai kesan perubahan iklim dan kesejahteraan haiwan turut menjadi punca pengambilan daging di Jerman menurun. – Gambar AFP
    Meskipun terkenal sebagai pencinta sosej dan schnitzel, penduduk Jerman kini semakin kurang memakan daging sejak beberapa tahun kebelakangan. – Gambar AFP
    ATAS & BAWAH: Antara gerai yang menjual makanan vegetarian yang menyertai festival tersebut. – Gambar AFP
    Gambar AFP
    Mempunyai pelbagai alternatif adalah salah satu sebab mengapa penduduk Jerman kurang makan daging. – Gambar AFP

    Kebimbangan terhadap kesejahteraan haiwan, perubahan iklim dan harga yang melambung telah menyebabkan pengguna mencari alternatif kepada daging sebagai hidangan.

    Kira-kira 10 peratus penduduk Jerman adalah vegetarian, menurut Kementerian Pertanian, berbanding 6 peratus pada 2018.

    Sejak 2021, Jerman telah melantik Menteri Pertanian Vegetarian, Cem Ozdemir dari parti Green – dan pelantikan tersebut telah mengecewakan ramai orang dalam industri daging.

    Walaupun memilih untuk menjadi seorang vegetarian semasa remaja disebabkan bimbang terhadap kesejahteraan haiwan, Ozdemir masih melihat peranan penting bagi industri daging.

    Baginya, kuncinya ialah untuk memperbaharui pengeluaran daging sebagai langkah untuk menangani perubahan iklim.

    Binatang penternakan campur adalah ‘salah satu pemacu terbesar’ pelepasan karbon dalam pertanian, katanya kepada AFP, jadi langkah perlu diambil untuk mengamalkan amalan lebih mesra alam.

    “Sebagai contoh, kita akan menyokong penternak untuk mengekalkan jumlah binatang peliharaan lebih sedikit, tetapi lebih baik,” katanya.

    Ozdemir percaya penduduk Jerman yang kurang memakan daging adalah ‘trend jangka masa panjang’ yang tidak mempunyai kaitan dengannya.

    “Orang ramai bimbang mengenai iklim, inginkan kesejahteraan haiwan yang lebih baik dan memberi tumpuan kepada kesihatan mereka, yang bagi saya itu sesuatu yang bagus,” katanya.

    Pasaran gantian daging yang semakin berkembang juga memainkan peranan, menurut Sebastian Joy, ketua pertubuhan bukan kerajaan, ProVeg International, yang menganjurkan festival itu.

    “Orang ramai masih boleh menikmati burger, schnitzel dan sosej, tetapi mereka tidak perlu membunuh haiwan untuk memakan makanan itu,” katanya.

    Kementerian pertanian vegetarian sedang berusaha mengenai strategi nutrien untuk membantu penduduk Jerman untuk makan lebih sihat dan merancang akan membentangkannya pada hujung tahun ini.

    Rancangan itu adalah untuk menggalakkan orang ramai mengikuti ‘diet yang lebih sihat, berasaskan tumbuhan dan mampan,’ menurut kenyataan kementerian.

    Tetapi tidak semua penduduk Jerman merasa positif mengenai masa depan kurang memakan daging.

    Media tempatan baru-baru ini melaporkan bahawa Masyarakat Pemakanan Jerman (DGE), menasihatkan kerajaan tentang langkah untuk mempromosikan pemakanan sihat, yang merancang untuk menyarankan pengambilan hanya 10 gram daging sehari.

    Laporan itu mencetuskan kemarahan, dengan gambar yang tersebar di media sosial menunjukkan bahagian kecil daging yang ditimbang di atas penimbang.

    DGE kemudian mengatakan bahawa semua itu telah disalah ertikan, tetapi perdebatan seolah-olah tidak berakhir.

    Tinjauan terbaharu oleh akhbar Bild menunjukkan bahawa 57 peratus penduduk Jerman dengan tegas menolak negara itu mengambil langkah untuk mengurangkan pengambilan daging.

    “Negara tidak perlu masuk campur dengan apa yang dimakan oleh penduduk,” kata seorang jurucakap bagi Persekutuan Industri Daging Jerman (VDF) kepada AFP.

    “Sebanyak 90 peratus penduduk Jerman gemar memakan daging. Tiada sesiapa memaksa golongan vegetarian untuk memakan daging agar mendapat bekalan vitamin dan nutrien. Perkara sama perlu dilakukan,” tambahnya.

    VDF percaya penurunan pengambilan daging di Jerman sejak 2018 adalah disebabkan oleh harga yang melonjak dan tekanan ke atas pengguna akibat inflasi.

    Bagi Gabrielle Hubner, 61, seorang pengunjung di festival vegetarian Berlin, ‘peningkatan kos’ merupakan faktor utama mengapa dia kurang memakan daging sejak beberapa tahun kebelakangan.

    “Saya tidak makan daging setiap hari, ada makanan lain seperti pasta, keju atau ubi kentang,” kata kakitangan pentadbiran itu.

    Ozdemir berkata dia tidak berhasrat untuk mengawal apa yang penduduk Jerman patut beli semasa membeli-belah.

    “Semua orang boleh memilih untuk diri mereka sendiri apa yang perlu mereka makan dan berapa banyak,” katanya.

    “Tugas saya adalah untuk menawarkan diet yang seimbang dan sihat. Saya mahu pilihan sihat menjadi pilihan yang mudah,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda