Oleh Amri HTZ
Bagi sesetengah masyarakat, lebah kelulut pada dahulunya hanya dianggap sebagai serangga perosak yang menebuk ruangan kayu untuk dijadikan tempat tinggalnya, namun ternyata sangkaan itu tidak benar malahan terdapat pelbagai kebaikan yang boleh diperoleh daripadanya.
Setelah diselidiki, lebah kelulut merupakan salah satu agen pendebungaan dan selain itu, ia juga menyimpan madu dan debunga dalam tempat tinggalnya dijadikan sebagai sumber makanan koloninya yang juga bermanfaat kepada manusia. Hal ini membuatkannya diburu untuk diternak bagi mendapatkan madu, debunga juga propolis untuk manfaat kesihatan.
Barangan yang diperlukan
Memandangkan untuk mendapatkan madu, debunga juga propolis adalah sukar dilakukan ketika ia dalam haif lebah kelulut, para penternak mengambil langkah untuk mereka kotak khas madu dikenali sebagai topping sebagai ruangan tambahan koloni selain mempermudah proses pengambilan madu.
Untuk merekanya, barangan seperti kepingan kayu, mesin pemotong kayu dan gergaji bulat (circular saw), mesin ketam atau ketam kayu konvensional, pita pengukur, gam kayu, pengepit kayu, skru atau paku, mesin jig (jig saw) helaian plastik lut sinar, pensel penanda, mesin gergaji rantai, blow torch, papan lapis, sesiku, kertas pasir dan gam silikon atau propolis kelulut adalah diperlukan.
Langkah pembuatan kotak madu
Untuk langkah pertama pembuatan, kepingan kayu yang telah disediakan terlebih dahulu diratakan kesemuanya dengan ketebalan yang sama. Kayu yang telah diketamkan tersebut kemudiannya akan dipotongkan dan dicantumkan menjadi satu untuk bahagian rangka, bahagian bawah kotak madu dan penutup kotak. Oleh itu, ini memerlukan awda untuk memastikan sudut cantuman cukup rata untuk dicantumkan.
Kayu-kayu yang digunakan dalam langkah ini perlulah kayu yang bebas daripada sebarang kimia yang digunakan untuk merawat kayu daripada diserang serangga perosak. Ini kerana lebah kelulut agak sensitif dengan bahan-bahan sedemikian yang boleh menyebabkannya meninggalkan haif, mati atau mengganggu pembiakan dalam sarang. Jika berlaku, ia akan menyebabkan kerugian pada kita terutama-nya bagi mereka yang mendapatkannya secara pembelian yang memang diketahui cukup mahal.
Potongkan kayu-kayu tersebut dengan panjang 20” x 5” x 1” untuk empat batang (rangka kotak) dengan sudut potongan 45 darjah, empat batang 22” x 2” x 1” untuk bingkai penutup kotak dan beberapa kepingan papan untuk menghasilkan bahagian bawah kotak berukuran 20” x 20”. Dalam projek ini, bahagian bawah dengan kepingan papan berukuran 20” x 4” x 1” akan digunakan sebanyak lima keping untuk mereka sekeping papan (dicantumkan menjadi satu) berukuran 20” x 20”.
Proses mencantumkan akan dimulakan dengan kepingan kayu berukuran 20” x 5” x 1” untuk mereka rangka utama kotak. Sapukan gam kayu pada bahagian hujung cantuman dan kekalkan kedudukannya menggunakan paku atau skru. Bagi mereka yang lebih suka dengan kesempurnaan, bahagian cantuman yang dikekal-kan menggunakan skru atau paku boleh digantikan dengan penggunaan pneumatic stapler memandangkan ia cukup kecil dan kukuh digunakan bersama gam kayu.
Manakala untuk bahagian papan bawah kotak, kepingan kayu berukuran 20” x 4” x 1” akan dicantumkan menjadi satu dengan setiap sudut perlu disapu rata menggunakan gam kayu dan dikekalkan sementara menggunakan pengepit kayu sehingga gam mengering. Pilih gam kayu berasaskan air dan bukan bahan kimia bagi memastikan keselamatan koloni lebah kelulut. Memandangkan teknik cantuman hanya menggunakan gam kayu, pastikan proses mengekalkan kedudukan menggunakan pengepit kayu dilakukan dengan betul dengan memberikan tekanan yang secukupnya.
Bagi memastikan tekanan melalui pengepit kayu diberikan dengan secukupnya, perhatikan permukaan cantuman di mana terdapat lelehan gam pada kesemua permukaan. Selain itu semasa mengetatkan pengepit kayu, lakukannya sehingga dirasakan pemegang pengepit yang diputar cukup keras dan hanya diketatkan menggunakan tangan tanpa bantuan alatan lain.
Kedua-dua proses cantuman, rangka kotak dan bahagian bawah kotak perlu dipastikan cukup rapat tanpa terdapatnya rongga kosong. Ini kerana lebah kelulut begitu sensitif terhadap angin dan cahaya luar yang tembus ke dalam haif. Setelah gam mengering (lebih baik ditinggalkan selama 24 jam), rangka kotak dan bahagian bawahnya kini boleh dicantumkan menjadi satu juga menggunakan gam kayu disokong dengan skru atau paku pada bahagian cantuman.
Untuk bahagian penutup, kayu berukuran 22” x 2” x 1” turut perlu dicantumkan untuk membentuk bingkai. Ini akan diikuti dengan bahagian atas penutup yang diperbuat daripada papan lapis berukuran 22” x 22”. Lakukan proses mencantumkan seperti langkah sebelumnya menggunakan gam kayu.
Awda setentunya tertanya-tanya mengapakah terdapat perbezaan penggunaan jenis kayu di antara penutup kotak madu atau topping dengan kotak utama yang diperbuat daripada papan asli dan papan lapis. Ini kerana memandang-kan papan lapis merupakan lapisan kayu yang dicantum menjadi satu menggunakan gam yang tidak diketahui jenisnya dan kimia yang disemburkan di atasnya setentunya membahayakan lebah kelulut. Disebabkan ini, sebagai langkah keselamatan, hanya kotak utama yang menempatkan koloni lebah kelulut yang akan menggunakan papan daripada kayu alami.
Selesai mereka kotak utama dan penutup, bahagian tengah kotak utama akan ditebuk dengan lubang berdiameter 3” sebagai laluan koloni dari haif utama. Gunakan mata gerudi yang biasanya digunakan untuk menebuk pintu atau mesin jig bagi mendapatkan bentuk tersebut. Selain bentuk bulat, lubang berbentuk empat segi, heksagon, heptagon atau oktagon juga sering digunakan oleh para penternak lebah kelulut lain sebagi bentuk lubang.
Bahagian dalaman kotak tersebut juga perlu dibakar menggunakan blow torch untuk mendapatkan permukaan kayu yang gelap. Langkah ini dilakukan semata-mata untuk meniru kediaman asal lebah kelulut yang tinggal dalam kayu yang mempunyai permukaan gelap dan terbukti efektif untuk merangsang koloni masuk dan tinggal di dalam kotak madu yang direka.
Kotak yang telah siap direka tersebut bolehlah dicantumkan pada haif utama lebah kelulut dengan menyelaraskan lubang haif dengan lubang kotak. Sebagai saranan, untuk mempercepatkan proses penghasilan madu di dalam kotak yang baru direka, haif utama daripada batang kayu perlu dipotong terlebih dahulu menggunakan gergaji rantai sehingga paras telur koloni kelulut. Setelah itu, lebihan propolis akan digunakan sebagai gam untuk mencantumkan kotak dengan haif yang kemudiannya dikukuhkan lagi dengan skru daripada bahagian dalam kotak.
Tujuannya adalah bagi memastikan tidak terdapat ruangan kosong tembus cahaya dan angin yang menyebabkan koloni enggan untuk memasuki kotak yang direka.