Monday, September 9, 2024
33.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pilih umpan kecil atau besar?

    Oleh Raz AS –

    Basar umpannya, basar ulihnya. Ungkapan yang sering kita dengar dan menjadi pegangan hidup kebanyakan kaki pancing.

    Secara logik akal memang benar ungkapan tersebut. Bak kata pemancing-pemancing di barat, match the hatch, yang bermaksud sesuaikan peralatan dan umpan berdasarkan spesies yang diburu.

    Jika memburu ikan besar guna umpan yang besar, jika memburu ikan kecil pula gunakan umpan kecil.

    Umpan yang bersaiz besar pasti ikan yang diperoleh juga akan bersaiz besar, ikan-ikan kecil tidak akan berselera atau berani menelan umpan besar kerana mulut tidak muat.

    Contoh saja kalau menggunakan umpan hidup seperti ikan kembura, tamban, aur-aur atau basong-basong yang panjangnya satu jengkal, ikan-ikan sebesar tapak tangan tidak akan begitu bernafsu melihatnya kerana makanan mereka selalunya terdiri daripada anak-anak ikan atau krustasea yang kecil-kecil.

    Jika memburu ikan besar guna umpan yang besar, jika memburu ikan kecil pula gunakan umpan kecil. – GAMBAR OLEH FISHING WORLD
    Dipanggil clouser minnows, ia merupakan reka bentuk umpan tiruan terkenal yang boleh digunakan ke atas kebanyakan ikan yang disasarkan. – ANN/The Star

    Namun tidak mustahil ada juga yang basar hawa, contohnya berdasarkan pengalaman penulis anak ikan kerapu tidak segan silu menyambar lure Yo-Zuri Crystal Minnow bersaiz lebih panjang daripada badannya.

    Begitu juga dengan spesies pengacau seperti ikan buntal, guna umpan ikan atau udang besar pun pasti habis dikerjakannya.

    Terdapat teori yang pernah terbaca oleh penulis semasa membelek-belek majalah pancing satu ketika dahulu, yang mengatakan bahawa ikan yang bersaiz besar ini pemalas sedikit.

    Mereka tidak begitu rajin untuk mengejar mangsa bersaiz kecil kerana habuannya tidak setimpal dengan tenaga yang dikerah. Sejauh manakah kebenarannya? Wallahualam.

    Yang pastinya, umpan kecil tidak bermakna ikan yang memakannya semuanya kecil-kecil walaupun sebahagian besar hasil tangkapan kita berkemungkinan akan bersaiz kecil.

    Kalau menggunakan umpan udang hidup besar kelingking, tangkapan sebesar telapak tangan itu cerita biasa, namun silap-silap hari bulan bergegar kepala lutut kita menahan asakan ikan bersaiz idaman yang tidak disangka-sangka berliur menyambarnya.

    Hal seperti ini tentu sahaja sering kali terjadi kepada kaki-kaki pancing di luar
    sana, terutama dalam kalangan pemancing ultralight.

    Kenalan penulis sendiri pernah menundukkan ikan selungsung seberat 5 kilogram, meskipun umpan yang digunakan hanya udang hidup sebesar kelingking kanak-kanak ketika turun memancing berperahu berhampiran Pelabuhan Muara. Kalau sudah rezeki pasti tidak kemana.

    Namun tidak dinafikan, ada kalanya ketika memancing kita perlu downsizing sama ada dari segi umpan, mata kail, lure atau perambut untuk menarik perhatian ikan.

    Contohnya di kawasan perairan yang mendapat tekanan tinggi daripada aktiviti memancing atau ikan tidak berminat dan was-was untuk menyambar umpan yang dilabuh meskipun kita tahu terdapat ikan di kawasan tersebut.

    Kalau sudah ikan cerewet, kita perlulah bijak beradaptasi dengan keadaan.

    Dengan downsizing umpan, lure dan mata kail akan meningkatkan peluang kita untuk memperoleh ikan kerana ia akan meluaskan lagi skop sasaran.

    Ini bermakna umpan atau lure yang kita persembahkan akan menarik perhatian
    ikan daripada saiz kecil hinggalah yang besar.

    Persembahan umpan akan lebih bersifat natural dan ikan pun jadi kurang takut dengan mata kail kecil dan perambut nipis.

    Walau bagaimanapun, jika awda memang berhasrat untuk memburu ikan besar, jangan terus-terus sahaja menggunakan umpan atau lure kecil kerana percaya ikan tentu sahaja akan makan umpan kalau sudah lapar.

    Sebaik-baiknya gunakanlah umpan atau lure besar terlebih dahulu untuk beberapa ketika jika tiada sambutan barulah downsize umpan, lure, perambut atau mata kail sedikit demi sedikit, siapa tahu ikan yang diidam-idamkan akhirnya terbuka pintu hati untuk menyambar umpan.

    Jika tidak pun sekurang-kurangnya masa awda memancing tidak begitu sunyi dengan melayan ikan-ikan bersaiz kecil.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda