Pemilihan warna pakaian sangat penting dalam penampilan seseorang. Jika tersalah memilih warna, awda mungkin kelihatan kusam atau terlalu menonjol di tengah orang ramai.
Kulit sawo matang merupakan salah satu warna kulit yang dominan dalam kalangan ramai lelaki. Beberapa selebriti terkenal yang mempunyai warna kulit ini termasuklah Rio Dewanto, Ario Bayu, Chicco Jerikho, Joe Taslim dan Hamish Daud.
Awda boleh menjadikan gaya mereka sebagai inspirasi dalam berpakaian.
PILIH WARNA YANG SESUAI
Jika awda mempunyai kulit sawo matang, terdapat beberapa warna kemeja yang boleh awda pilih bagi memastikan penampilan lebih menarik dan menyerlah. Berikut adalah beberapa pilihan warna yang disarankan, seperti yang dicadangkan daripada Gentleman Within dan Fashion Beans:
1. Putih
Kemeja berwarna putih sangat sesuai dipakai kerana ia dapat memberikan kesan lebih cerah pada wajah. Warna itu juga mudah digayakan dengan pelbagai jenis pakaian lain.
Bagi gaya santai, awda boleh memadankannya dengan jaket berwarna cerah seperti jingga serta seluar biru.
Manakala untuk acara formal, padankan dengan sut dan seluar berwarna hitam bagi menampilkan gaya yang lebih kemas dan profesional.
Putih ialah warna yang memberikan kontras dengan kulit sawo matang, sekali gus menjadikan pemakainya tampak lebih berseri.
2. Coklat
Warna coklat, terutama dalam tona yang lebih lembut seperti coklat muda atau beige, sangat sesuai kerana ia memberikan kesan semula jadi dan hangat pada penampilan.
Namun demikian, elakkan warna coklat yang terlalu gelap kerana ia boleh menyebabkan wajah kelihatan kusam.
3. Biru
Kemeja berwarna biru pastel dapat mencipta kesan cerah dan segar. Awda boleh menggabungkannya dengan seluar berwarna putih atau coklat muda serta kasut putih untuk tampil lebih bersih dan rapi.
Selain itu, kemeja biru navy atau denim juga merupakan pilihan yang baik. Warna tersebut memberikan kontras yang menarik pada kulit sawo matang, sekali gus mencerminkan gaya yang berani, maskulin dan moden.
4. Hijau zaitun
Hijau zaitun ialah salah satu warna yang sesuai untuk pemilik kulit sawo matang kerana ia memberikan kesan tenang dan semula jadi.
Bagi gaya kasual, padankan kemeja hijau zaitun dengan seluar berwarna khaki atau hijau tua.
Warna itu juga sesuai bagi mereka yang ingin tampil menarik tetapi tidak terlalu mencolok di khalayak ramai.
5. Maroon
Jika awda ingin tampak lebih santai tetapi tetap bergaya, kemeja berwarna maroon ialah pilihan yang tepat. Warna tersebut memberikan kesan mewah serta menyerlahkan tona kulit sawo matang dengan baik.
6. Hitam
Hitam merupakan warna yang bersifat neutral dan sesuai untuk semua jenis warna kulit, termasuk kulit sawo matang.
Warna itu memberikan kesan elegan, maskulin, dan misteri.
Ia juga serasi dengan rambut hitam, yang kebiasaannya dimiliki oleh individu berkulit sawo matang. – Agensi