DHAKA, 30 Dis – Kira-kira 14 orang maut dalam keganasan pilihan raya di Bangladesh hari ini, selepas kempen berdarah dibayangi tindakan keras ke atas pembangkang oleh Perdana Menteri Sheikh Hasina yang dijangka memenangi penggal keempatnya yang bersejarah namun berkontroversi.
Tiga orang lelaki ditembak oleh polis dan enam lagi terbunuh dalam pertempuran antara aktivis parti pemerintah, Parti Liga Awami dan pembangkang Bangladesh, Parti Nasional Bangladesh (BNP), kata polis. Seorang anggota polis tambahan turut terbunuh setelah diserang aktivis pembangkang yang bersenjatakan pistol dan batang kayu, menurut para pegawai.
Pengundian sedang dijalankan di bawah langkah keselamatan ketat sehingga 4 petang waktu setempat dan pungutan undi meramalkan penggal keempat buat Hasina.
Pemimpin itu telah dipuji kerana meningkatkan pertumbuhan ekonomi di negara Asia termiskin itu dalam tempoh sedekad berkuasa dan mengalu-alukan pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada kekerasan yang berlaku di, Myanmar.
Namun, para pengkritik menuduhnya kerana autoritarianisme dan menumbangkan pembangkang termasuklah pencabar terdekatnya Khaleda Zia yang kini menjalankan hukuman penjara 17 tahun atas dakwaan rasuah – untuk terus berkuasa.
Kempen pilihan raya yang lalu telah tercemar dengan keganasan antara penyokong Parti Liga Awami yang diketuai oleh Hasina dan BNP yang dipimpin oleh Zia.
Kira-kira 600,000 orang pegawai keselamatan telah dihantar di seluruh negara Asia Selatan itu, termasuklah di 40,000 buah stesen mengundi.
Sementara itu, pihak berkuasa telah mengarahkan pengendali perkhidmatan 3G dan 4G untuk ditutup sehingga tengah malam hari ini bagi ‘mencegah penyebaran khabar angin’ yang boleh menimbulkan kekacauan. – AFP
