Friday, November 15, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pilihan raya India disambung semula, termasuk di Kashmir

    SRINAGAR, 13 MEI – Pilihan raya enam minggu India disambung semula hari ini termasuk di Kashmir, di mana pengundi dijangka menunjukkan rasa tidak puas hati mereka dengan pembatalan separa autonomi wilayah yang dipertikaikan oleh Perdana Menteri, Narendra Modi dan diikuti tindakan keselamatan keras.

    Modi kekal popular di seluruh India dan parti Bharatiya Janata (BJP) nasionalis Hindu dipimpinnya dijangka menang sebaik tempoh undian berakhir awal bulan depan.

    Namun, keputusan kerajaannya pada 2019 untuk membawa Kashmir di bawah pemerintahannya, amat dibenci penduduk di wilayah itu, yang akan mengundi buat kali pertama sejak langkah itu dibuat.

    “Apa yang kami beritahu pengundi sekarang ialah awda perlu membuat suara awda didengari,” kata bekas Ketua Menteri, Omar Abdullah, yang partinya giat berkempen untuk mengembalikan pemerintahan semi autonomi di Kashmir seperti sebelum ini.

    “Pandangan yang kami mahu orang ramai hantar ialah apa yang berlaku ini, tidak boleh diterima oleh mereka,” katanya kepada AFP. Kashmir dibahagikan antara India dan Pakistan sejak kemerdekaan mereka pada 1947.

    Kedua-dua negara menuntut sepenuh wilayah dan berperang dua kali untuk menguasai wilayah Himalaya.

    Kumpulan pemberontak yang menentang pemerintahan India melancarkan pemberontakan sejak 1989 di kawasan sempadan dikawal oleh New Delhi, menuntut sama ada kemerdekaan atau penggabungan dengan Pakistan.

    India pula menuduh Pakistan menyokong pemberontak, tuduhan yang dinafikan Islamabad. – AFP

    Pengundi beratur untuk membuang undi di pusat mengundi semasa fasa keempat pengundian dalam pilihan raya umum India, di daerah Ganderbal, timur laut Srinagar. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda