Thursday, April 17, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pilihan Raya Presiden Korea ditetapkan 3 Jun ini

    SEOUL, 8 APRIL – Korea Selatan akan mengadakan pilihan raya presiden pada 3 Jun, umum pemangku presiden negara itu hari ini, selepas bekas pemimpin Yoon Suk Yeol disingkirkan daripada jawatan berikutan pengisytiharan darurat tentera yang mencetuskan krisis.

    Negara demokrasi itu telah diperintah tanpa pemimpin sejak Disember lalu, apabila bekas presiden Yoon cuba menjatuhkan pemerintahan awam namun segera digantung tugas selepas dilucutkan jawatan oleh ahli parlimen melalui proses pemecatan.

    Mahkamah Perlembagaan negara itu minggu lalu mengekalkan keputusan pemecatan tersebut, secara rasmi menyingkirkan beliau daripada jawatan tertinggi negara dan mencetuskan keperluan untuk mengadakan pilihan raya baharu dalam tempoh 60 hari.

    Kerajaan telah menetapkan 3 Jun sebagai hari pengundian, kata Perdana Menteri, Han Duck-soo hari ini, sambil menambah tarikh tersebut akan diisytiharkan sebagai cuti umum sementara bagi memudahkan proses pengundian.

    Tarikh berkenaan ditetapkan dengan mengambil kira keperluan untuk memastikan kelancaran pengurusan pilihan raya dan memberi masa mencukupi kepada parti politik untuk membuat persediaan, katanya.

    Han menyeru semua kementerian dan Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan untuk membuat persiapan rapi bagi memastikan pilihan raya yang lebih adil dan telus berbanding sebelum ini, serta mampu meraih kepercayaan rakyat.

    Pemenang pilihan raya akan mengangkat sumpah dan mula bertugas pada keesokan harinya, berbeza dengan pilihan raya biasa di mana presiden yang terpilih akan melalui tempoh peralihan selama dua bulan.

    Buat masa ini, Perdana Menteri Han menjalankan tugas sebagai pemangku presiden, jawatan yang dipegangnya semula baru-baru ini selepas Mahkamah Perlembagaan menolak usaha pemecatan terhadap dirinya.

    Tempoh rasmi kempen pilihan raya akan berlangsung dari 12 Mei hingga 2 Jun. – AFP

    Penyokong bekas presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, menghadiri perhimpunan di Seoul, pada 5 April. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda