Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pilihan tempat penginapan di luar kawalan kerajaan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Akhir-akhir ini, Arab Saudi menjadi pilihan rakyat Negara Brunei Darussalam membawa keluarga mengerjakan ibadah haji dan umrah, lebih-lebih lagi semasa bulan Ramadan dan menjelang musim cuti persekolahan pada Disember.

    Melihat sambutan orang ramai itu, Yang Berhormat Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam telah mengusulkan soalan mengenai perancangan Kementerian Kewangan dan Ekonomi bagi mengembang luaskan pelaburan kerajaan dalam bidang hartanah yang 100 peratus dimiliki oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Yang Berhormat Hajah Safiah mengusulkan soalan tersebut pada hari kelima permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

    Semasa menjawab usul tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah menjelaskan, pada masa ini kerajaan Baginda sudah pun memiliki hotel di Kota Mekah dan juga di Madinah untuk kemudahan jemaah negara menggunakannya semasa haji dan umrah.

    “Jika datangnya musim haji, memang hotel-hotel yang dimiliki 100 peratus oleh kerajaan Brunei akan ditempah untuk jemaah Brunei,” jelasnya.

    “Mungkin orang kitani menempah melalui travel agent dan sebagainya. Mungkin travel agent tersebut menggunakan hotel-hotel lain, yang tidak dapat kitani kawal. Jadi, apabila mereka sampai ke Mekah atau Madinah, tempahan-tempahan tersebut telah pun dibatalkan,” tekannya.

    Beliau turut menjelaskan, perkara itu bukan saja ditangani oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi, bahkan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

    Yang Berhormat Hajah Safiah pula menyentuh mengenai aduan dan rungutan rakyat Brunei yang berada di tanah suci semasa mengerjakan umrah terutama pada musim yang menjadi tumpuan di mana penginapan telah dibatalkan oleh pihak pengurusan hotel dan seumpamanya selain kos perbelanjaan yang tinggi.

    Ketika menjawab soalan tersebut, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman menjelaskan, bagi ejen-ejen operasi haji dan umrah, mereka tentu mencari tempat penginapan pada musim haji dan umrah yang lebih murah daripada hotel yang sedia ada.

    “Tentulah dari segi perkiraan perniagaan bagaimana untung dan ruginya tetapi yang penting kitani ada hotel dan akan berterusan ada hotel,” jelasnya.

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda