PADA dasarnya warna memang mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam penghasilan suasana dan karakter ruang.
Warna turut bermusim dan berkembang mengikut peredaran zaman. Beberapa warna mengalami perubahan bahkan muncul juga warna baru daripada kombinasi sedia ada. Kepelbagaian pilihan warna memudahkan anda untuk membuat satu kesan baru pada ruang tertentu di kediaman. Setiap tahun warna yang berbeza diramal bakal menjadi pilihan utama.
Faktor ramalan warna biasanya bergantung kepada trend semasa, pengaruh dekorasi dari dalam dan luar negara serta cita rasa yang sentiasa berubah-ubah. Bagaimanapun, beberapa warna diramal menjadi pilihan pada 2018 kelak. Ini sekadar ramalan semata-mata kerana pilihan yang sebenarnya masih terletak di tangan anda.
Pada 2018 diramalkan warna gelap banyak digunakan untuk dekorasi ruang. Bukan hanya pada dekorasi ruang, tetapi turut membabitkan keseluruhan barangan perabot seperti bangku, meja, lampu diri dan rak semuanya berwarna gelap. Pilihan warna gelap, termasuk hitam ‘tegas’, sebenarnya mampu memberikan satu nuansa lain yang unik dan menarik. Warna gelap juga dianggap cenderung untuk menghilangkan tenaga pada sesebuah ruang dalam beberapa situasi. Jika penggunaannya benar-benar padan dan tepat, ia berupaya melahirkan suasana ruang penuh bersemangat.
Selain warna minimalis hitam dan putih, tahun 2018 juga dikatakan akan ‘menghadirkan’ warna minimalis lain seperti hijau muda dan merah muda. Kedua-dua warna itu dilihat sebagai satu kombinasi baru bagi menghasilkan kediaman yang lebih segar.
Bagi pencinta merah jambu, 2018 adalah tahun yang dinanti kerana aneka rona dari warna itu mendominasi warna dekorasi. Dimulai dengan warna cat dinding hingga seluruh perabot. Tidak hairanlah kini beberapa syarikat pengeluar cat utama menghasilkan pelbagai kombinasi dan rona warna merah jambu yang lebih bervariasi. Namun dekorasi ruang tamu biasanya ‘sukar’ jika menggunakan warna tema merah jambu keseluruhannya. Ada yang takut menggunakan warna itu kerana ia sinonim dengan feminin atau kewanitaan.
Pelbagai idea dekorasi ruang tamu merah jambu sebenarnya dapat digabungkan dengan warna lain. Ia boleh dieksplorasikan dengan gabungan sesuai termasuklah merah jambu terang, merah jambu gelap dan merah jambu pastel. Malah ada juga yang mencampurkan warna itu dengan putih supaya nampak lebih asli dan tidak terlalu menonjol. – Agensi