Saturday, May 3, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pindaan akta pencen tua, kurang upaya berkuat kuasa 1 Oktober

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JULAI – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan rang-rang Perintah Akta Pencen Umur Tua dan Kurang Upaya (Pindaan), 2021 dan Perintah Orang Kurang Upaya, 2021 yang akan berkuat kuasa mulai 1 Oktober 2021.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, KKBS menjelaskan bahawa Perintah Akta Pencen Umur Tua dan Kurang Upaya (Pindaan), 2021 menetapkan pencen umur tua dan elaun kurang upaya hanya diberikan kepada rakyat Negara Brunei Darussalam, atau penduduk tetap yang tidak mempunyai warganegara lain, dengan syarat mereka menetap atau berada di negara ini pada tempoh-tempoh yang ditetapkan melalui pindaan akta.

    Ini merupakan penambahbaikan daripada akta sebelum ini yang tidak menyatakan syarat kerakyatan bagi penerima pencen umur tua atau elaun kurang upaya, dan hanya menyatakan tempoh menetap di Negara Brunei Darussalam.

    Dengan pindaan ini, tegas KKBS, ia menekankan hak penerimaan pencen umur tua dan elaun kurang upaya hanya bagi rakyat dan penduduk tetap yang layak sahaja. Pengesahan kerakyatan atau keberadaan pemohon akan dibuat oleh satu pihak berkuasa (Competent Authority) yang ditubuhkan di bawah bidang kuasa Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

    Elaun Penyedia Penjagaan

    Pindaan berkenaan juga memperkenalkan elaun penyedia penjagaan melalui Peraturan 8A (1) (Care Provider Allowances) Old Age and Disability Pensions Regulations pada jumlah $250 sebulan bagi penerima elaun-elaun kurang upaya di bawah garis panduan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

    Ini adalah pertukaran daripada elaun tanggungan yang sebelum ini diberikan bagi tanggungan-tanggungan penerima Pencen Buta, Elaun Bercelaru Mental dan Elaun Penyakit Kusta pada jumlah $113 (di bawah 15 tahun) atau $188 (atas 15 tahun).

    Menurut kenyataan, pindaan itu dihasratkan untuk menambah baik kesejahteraan golongan orang kelainan upaya (OKU), kerana ia mengaitkan pemberian elaun ini sebagai insentif dan menyokong ahli keluarga menjaga dan memeduli orang kelainan upaya, dan bukan sebaliknya iaitu bergantung kepada ahli keluarga yang kurang upaya bagi mendapatkan bantuan.

    Faedah itu juga dilaratkan kepada penerima Pencen Hilang Upaya, serta Elaun Kurang Upaya yang sebelum ini tidak berhak memohon elaun tanggungan.

    Garis pandu JAPEM turut menyatakan penyedia penjagaan bermaksud seorang yang memberikan penjagaan dan sokongan kepada penerima Elaun Kurang Upaya, berumur sekurang-kurangnya 16 tahun dan dinilai layak oleh pengawal pencen.

    Garis pandu itu juga menilai keperluan OKU untuk mendapat penyedia penjagaan sepenuh masa, khususnya bagi yang terlantar atau tidak berupaya menjaga diri secara mandiri dan juga berdasarkan pendapatan bulanan isi rumah di bawah garisan yang ditetapkan.

    Di bawah garis pandu tersebut, seorang penyedia penjagaan disyaratkan membuat pengakuan untuk menerima tanggungjawab menyediakan penjagaan dalam mana, tindakan undang-undang akan diambil sekiranya penjaga tersebut didapati mengabaikan tanggungjawab.

    Kemas kini kriteria kelayakan elaun kurang upaya

    Dalam kenyataan itu juga menyentuh mengenai kemas kini kriteria kelayakan Elaun Kurang Upaya dengan menghilangkan syarat tidak dapat bekerja, dan menukarnya kepada pengesahan daripada pakar perubatan yang akan menilai dari segi tahap ketidakupayaan, mengikut garis pandu yang akan dikeluarkan oleh ketua pengarah perkhidmatan perubatan.

    Ia adalah penambahbaikan untuk memperkasakan golongan OKU di negara ini untuk aktif mencari pekerjaan.

    Syarat tidak dapat bekerja bagi mendapatkan elaun-elaun kurang upaya sebelum ini, dinilai tidak memperkasakan hak OKU untuk bekerja, kerana khuatir akan hilang hak menerima pencen atau elaun kurang upaya sekiranya mendapat pekerjaan.

    Pengemaskinian kriteria penilaian ketidakupayaan juga dengan sendirinya akan dilaratkan kepada kategori-kategori OKU untuk memohon elaun-elaun kurang upaya.

    Sebelum ini, ianya hanya terhad kepada kategori buta, bercelaru mental, kusta dan hilang upaya.

    Dengan adanya pindaan, ketidakupayaan tertakluk kepada pengesahan pakar perubatan berdasarkan kepada Guidelines on Disabilities yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan melalui Peraturan 8C (Guidelines to determine persons suffering from blindness etc.) Old Age and Disability Pensions Regulations.

    OKU berhak menerima elaun dan pencen

    Pindaan perintah itu juga akan memastikan OKU juga akan berhak menerima Elaun Kurang Upaya di samping Pencen Umur Tua apabila mencapai umur 60 tahun.

    Akta sebelum ini menegah pemberian lebih dari satu faedah (sama ada menerima pencen umur tua atau elaun-elaun kurang upaya sahaja), kecuali bagi penerima pencen buta dan tanggungannya sahaja, yang dibenarkan untuk menerima pencen umur tua sebagai tambahan sesudah mencapai usia 60 tahun.

    Bagi menjaga kesejahteraan dan memelihara hak OKU setelah mencapai usia 60 tahun, pindaan akta memberikan dua faedah iaitu Pencen Umur Tua di samping Elaun Kurang Upaya.

    Perintah OKU 2021

    Sementara itu, dalam perintah OKU 2021, ia memfokuskan dan menghuraikan lebih lanjut mengenai definisi OKU (Bab 2), pendaftaran OKU (Bab 6), dan perlindungan khusus bagi OKU bagi kesalahan penderaan dan pengabaian dalam Bahagian 4.

    Sesi pemberigaan mengenai rang Perintah Akta Pencen Umur Tua dan Hilang Upaya (Pindaan) 2021, dan rang Perintah Orang Kelainan Upaya, 2021 akan dilaksanakan bersama pihak-pihak berkepentingan khususnya penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung, Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU), persatuan-persatuan dan pertubuhan-pertubuhan OKU.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda