Friday, May 2, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pindaan Ordinan Buruh Sarawak kini berkuat kuasa

    KUCHING, 1 MEI – Pindaan terbaharu Ordinan Buruh Sarawak yang berkuat kuasa hari ini menjadi hadiah terbaik kepada pekerja di negeri itu sempena sambutan Hari Pekerja 2025.

    Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak, Zaidi Nasar berkata penguatkuasaan pindaan terbaharu dalam ordinan itu juga adalah kejayaan besar selepas menanti selama 20 tahun.

    “Kejayaan ini merupakan bukti usaha bersama kepimpinan dan kesatuan pekerja dalam memperjuangkan hak pekerja Sarawak.

    “Dengan pindaan ini, sektor tenaga kerja Sarawak kini mampu menikmati manfaat setara dengan rakan-rakan mereka di Semenanjung,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Pada 12 Disember tahun lepas, Rang Undang-Undang Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2024 telah diluluskan di Dewan Rakyat.

    Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dilaporkan berkata pindaan yang dilaksanakan itu bakal melindungi hak 1.46 juta pekerja di Sarawak.

    Pindaan kepada Ordinan Buruh Sarawak itu dianggap bersejarah selepas kali terakhir dipinda pada 2005.

    Antara pindaan utama yang diperkenalkan dalam ordinan itu adalah kenaikan jumlah cuti bersalin kepada 98 hari berbanding 60 hari sebelum ini.

    Ia juga melibatkan bayaran kerja lebih masa, cuti paterniti selama tujuh hari, perlindungan lebih baik untuk pekerja kontrak dan hak kesihatan serta keselamatan pekerja. – Bernama

    Steven Sim Chee Keong menyampaikan ucapan pada sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 1 Mei. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda