Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pindah hanya kerana pencemaran udara

    BENGALURU, INDIA – Tahap pencemaran di ibu negara India mempengaruhi keputusan Natasha Uppal dan suaminya mengenai peranan ibu bapa, sama ada membesarkan anak mereka jauh dari bandar, atau tinggal di sana dan tidak mempunyai anak.

    New Delhi dan kawasan metropolitan sekitarnya, yang menempatkan lebih daripada 30 juta orang, secara konsisten menduduki tempat teratas dalam ranking dunia untuk pencemaran udara.

    Uppal, yang membesar di bandar, sering mempertimbangkan untuk meninggalkan tempat itu, terutamanya pada hari-hari yang dihabiskan di dalam rumah dengan dengungan pembersih udara, atau ketika dia bergelut dengan migrain yang teruk.

    Titik perubahan datang apabila pasangan itu memutuskan untuk mencuba menimang cahaya mata.

    “Apabila kami memikirkan apa yang boleh kami sediakan untuk anak kami di Delhi,” katanya kepada AFP, “udara menjadi penghalang kepada banyak perkara.”

    Roli Shrivastava (tengah) dan suami, Raman Sankar meluangkan masa bersama anak lelaki mereka di kediaman mereka di New Delhi. – AFP
    Natasha Uppa membaca artikel berita tentang pencemaran udara di komputer riba. – AFP
    Natasha Uppal menyiram tanaman bersama anaknya di teres kebun kediaman mereka di Bengaluru. – AFP
    Pemandu kenderaan memandu di tengah-tengah jerebu tebal di New Delhi pada 13 November 2024. – AFP
    Roli Shrivastava memegang nebulizer semasa ditemu bual oleh AFP di kediamannya di New Delhi. – AFP
    Vidushi Malhotra, membaca buku kanak-kanak kepada anak lelakinya di kediaman mereka di Goa. – AFP

    Pada tahun 2022, mereka berpindah ke Bengaluru dan beberapa hari kemudian, dia mendapati dia hamil.

    Mereka adalah antara sebilangan kecil keluarga yang meninggalkan Delhi disebabkan risiko kesihatan yang dikaitkan dengan pencemaran udara.

    Uppal, pengasas kumpulan sokongan kesihatan ibu berusia 36 tahun, Matrescence India, berkata perpindahan itu adalah ‘keputusan terbaik.’

    Pencemaran udara di Bengaluru kadangkala masih boleh mencapai tiga kali ganda had Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

    Tetapi ia jauh di bawah had jerebu selama berbulan-bulan di Delhi, dan bermakna anaknya ‘boleh masuk dan keluar rumah seberapa banyak kali sesuka hatinya.’

    Udara bersih adalah ‘sesuatu yang merupakan hak asasi manusia,’ katanya. “Semua orang sepatutnya boleh menghargainya.”

    3.8 JUTA KEMATIAN

    Setiap musim sejuk, Delhi diselubungi jerebu tebal, campuran toksik pembakaran tanaman, pelepasan kilang dan lalu lintas yang sesak.

    Tahap PM2.5, zarah mikro penyebab kanser yang cukup kecil untuk memasuki aliran darah, telah melonjak sehingga 60 kali ganda had WHO.

    Walaupun terdapat ikrar pembaharuan, langkah-langkah seperti larangan kenderaan separa atau penyemburan kabus trak air tidak banyak membantu membersihkan udara.

    Tahun ini, pihak berkuasa menjanjikan percubaan pembenihan awan untuk mengurangkan pencemaran.

    Satu kajian dalam The Lancet Planetary Health tahun lepas menganggarkan 3.8 juta kematian di India antara 2009 dan 2019 dikaitkan dengan pencemaran udara.

    Agensi kanak-kanak PBB memberi amaran bahawa udara yang tercemar meletakkan kanak-kanak menghidap risiko jangkitan pernafasan akut yang lebih tinggi.

    Bagi Vidushi Malhotra, 36, tahap kemuncak datang pada tahun 2020 apabila anak lelakinya yang berusia dua tahun jatuh sakit berulang kali.

    “Kami mempunyai tiga pembersih udara yang beroperasi secara berterusan, dan kemudian saya memerlukan lebih banyak lagi,” katanya.

    Setahun kemudian, Malhotra, suami dan anak lelakinya berpindah ke Goa. Dia menggesa rakan-rakan untuk mengikut jejak langkah mereka, memulakan apa yang dia panggil ‘pergerakan mini.’ Beberapa orang melakukannya.

    “Saya perlu terus balik dan melihat orang tersayang saya melalui ini,” tambahnya. “Itu benar-benar membuatkan saya sedih.”

    NEBULISER, ALAT SEDUT

    Orang lain, seperti penghuni Delhi Roli Shrivastava, masih kekal di tempat asal tetapi hidup dalam keresahan yang berterusan.

    Wanita berusia 34 tahun itu menyimpan alat sedut asma untuk alahan asapnya dan nebuliser untuk anak kecilnya, yang batuknya semakin teruk setiap musim sejuk.

    “Doktor memberitahu kami bahawa musim sejuk akan menjadi sukar,” katanya. “Dia hanya memberitahu kami, ‘Apabila anak awda mula batuk pada waktu malam, jangan hubungi saya, mula guna sahaja nebuliser.'”

    Ketika musim sejuk semakin hampir, Shrivastava sedang bersedia untuk bertahan satu lagi musim di dalam rumah, mengehadkan aktiviti permainan di luar untuk anaknya, menjalankan pembersih udara dan memeriksa kualiti udara setiap hari.

    Apabila keluarga itu melawat saudara-mara di bandar selatan Chennai, kesihatan anaknya bertambah baik ‘secara drastik.’

    “Hingus hidungnya berhenti, batuknya hilang,” katanya.

    Shrivastava dan suaminya, yang kedua-duanya bekerja dengan kumpulan advokasi global, berkata mereka pasti sudah lama meninggalkan Delhi jika bukan kerana ‘pekerjaan yang kami sukai dan peluang.’

    Perpindahan, akuinya, sentiasa dalam fikiran mereka.

    “Saya tidak fikir pada kadar sekarang, Delhi adalah tempat yang baik untuk membesarkan anak-anak, sekurang-kurangnya apabila melibatkan pencemaran udara.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda