Thursday, February 6, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pingat emas tebus kecewa khairunnisa

    KUCHING, 16 OGOS – Kecewa acara berbasikal trek digugurkan, Khairunnisa Aleeya Saifulnizam bangkit menebus kekecewaan dengan meraih pingat emas acara berbasikal lebuh raya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak, hari ini.

    Pemegang pingat emas acara 4 kilometer (km) kejar-mengejar berpasukan wanita SUKMA 2022 berkata selepas mengetahui acara trek tidak dipertandingkan, beliau dan jurulatih beralih tumpuan kepada acara lebuh raya walaupun sedar satu pingat emas kem berbasikal Johor sudah lebur.

    “Hasil bantuan dan sokongan pasukan, saya tidak ambil masa lama untuk menyesuaikan diri dengan acara lebuh raya dan pada perlumbaan hari ini, saya berjanji untuk bermati-matian dapatkan pingat emas demi balas budi pasukan, demi Johor,” katanya.

    Pingat perak acara berkenaan dimenangi pelumba Kedah, Nur Fitrah Shaari dengan catatan masa 3:34:34s manakala pelumba kebangsaan Nyo Ci Hui yang mewakili Perak berpuas hati membawa pulang pingat gangsa dengan 3:34.34s.

    Acara berpasukan pula menyaksikan Kedah menerusi Nur Fitrah Shaari, Nurul Nabilah Mohd Asri P Phi Kun dan Zahra Afifah Zamri membawa pulang pingat emas dengan catatan masa keseluruhan 10:43.43s.

    Sementara itu, ketua jurulatih berbasikal SUKMA Kedah, Noor Alfizar Othman berkata keputusan pasukan itu untuk berkampung sejak dua minggu lepas di Sarawak, ternyata membantu pelumba untuk menyesuaikan diri dengan laluan perlumbaan hari ini.

    “Pelumba kita dah kuasai laluan, dah hafal setiap laluan bukit, lurus mahupun selekoh.

    “Jadi mudah untuk kita laksanakan strategi pasukan yang telah diatur untuk pastikan kita dapat tamat dalam kedudukan yang terbaik bagi meraih emas berpasukan,” katanya.

    Setakat ini, kem berbasikal Kedah telah meraih masing-masing satu emas, perak dan gangsa. – Bernama

    Reaksi Khairunnisa Aleeya memenangi pingat emas pada temasya SUKMA, Sarawak di Kampung Bukit Asal pada 16 OGOS. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda