Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Seramai 134 orang penerima Pingat Kerja Lama (PKL) diraikan dalam Majlis Penyempurnaan Pengurniaan Pingat-pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam, PKL sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78 bagi pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya yang berlangsung di Dewan Mawaddah, Setia Point, Berakas, hari ini.
Hadir pada majlis tersebut dan menyempurnakan penyampaian pingat berkenaan ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-undang), Kementerian Pembangunan, Ir Awang Norazmi bin Othman; ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan serta para penerima yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Majlis itu merupakan satu bentuk pengiktirafan dan penghargaan dari kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada individu yang telah berkhidmat lebih dari 20 tahun atas jasa dan sumbangan bakti yang telah diberikan sepanjang mereka berkhidmat.






