Monday, November 25, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pinggan kertas daripada hampas tebu

    PHNOM PENH – Saban hari, Ngorn Makara mengutip baldi biru besar yang digunakan oleh peniaga air tebu untuk membuang hampas tebu – gentian pulpa lembik dan kering yang tinggal selepas jus diperah – dan menghantar bekas ke kilang di mana dia bekerja. Dia berharap dapat memperoleh keuntungan menerusi proses kitaran hampas tebu kepada produk yang berguna.

    Hampas tebu itu dikeringkan di bawah cahaya matahari sebelum dikisar oleh mesin besar. Makara seterusnya merebus sisa-sisa hampas yang kecil dan menggunakannya untuk menghasilkan pinggan kertas.

    Makara, 31, memberitahu The Post, “Hampas tebu melalui banyak proses sebelum ia menjadi produk akhir. Proses tidak semudah seperti yang difikirkan, kerana hampas tebus tidak boleh dikisar sehingga betul-betul kering.”

    Dia menambah proses merebus mengambil masa lima hingga enam jam – selepas itu, ia perlu dikisar sekali lagi sebelum boleh ditukar kepada kertas. Akhirnya, ia mesti dikeringkan betul-betul sekali lagi sebelum ditekan dalam acuan dan memotong mengikut bentuk yang dikehendaki.

    Ia merupakan huraian asas proses yang digunakan oleh MG Pacific Company Limited untuk menghasilkan pinggan kertas kitar semula.

    Salah seorang pekerja memproses tebu kepada pulpa untuk menghasilkan pinggan kertas. – ANN/The Phnom Penh Post
    Ngorn Makara melihat pinggan-pinggan yang tersusun di rak pasar raya Phnom Penh. – ANN/The Phnom Penh Post

    Usahawan Taing Socheat, presiden syarikat, berkata dia ingin mencipta sesuatu yang unik dan mesra alam, dan menghabiskan masa yang banyak menjalankan penyelidikan dan memastikan dia tahu apa yang dapat dicapainya secara realistik.

    “Syarikat saya menggunakan bahan terbiodegradasi yang khusus untuk menghasilkan produk kertas. Saya mengkaji kemungkinan menghasilkan pinggan daripada tumbuhan, namun penyelidikan saya mencadangkan untuk menjadikannya perniagaan menguntungkan, saya perlu melabur antara AS$130 dan AS$200 juta,” beritahunya kepada The Post.

    Beliau berkata atas sebab-sebab itulah dia memilih untuk beroperasi pada skala lebih kecil. Pada mulanya, dia menimbang menggunakan buluh tetapi mendapati hampas tebu mempunyai ciri-ciri yang sama. Memandangkan ia boleh didapati dengan banyak, biasanya diberikan secara percuma, mendorongnya menggunakan tebu.

    Dia menekankan dia bukan orang pertama di negara itu yang menghasilkan produk daripada bahan ini, tetapi kali terakhir ia digunakan adalah Sangkum Reastr Niyum dari era 1950 dan 1960. Dia tidak tahu tentang sesiapa yang sedang menggunakannya sekarang.

    “Saya sendiri menyelidiki dan mereka mesin tiga tahun lalu pada 2018. Saya mengeluarkan banyak belanja ke atas modal dan mendirikan peralatan selain menguji kaji sebelum kami bersedia untuk menjual pinggan pada awal 2021. Pinggan masih terhad kepada saiz kecil, tetapi kami mempunyai rancangan untuk menambah produk kami,” katanya.

    Kebanyakan produk kertas, daripada tisu tandas kepada kertas akhbar, diperbuat daripada produk import separa siap. Pengeluaran produk kertas separa siap dengan bahan mentah tempatan, mesin buatan tempatan dan pekerja tempatan adalah sesuatu yang amat dibanggakan oleh Socheat.

    Menurutnya, dia mencari jurutera yang dapat membina jentera yang diperlunya, dia terpaksa bertemu dengan ramai pakar tempatan. Akhirnya, peralatan berjaya dibina menerusi gabungan lima atau enam bengkel.

    “Kami terpaksa mereka jentera dari asas kerana tidak ada sesiapa yang mampu melakukan kerja ini pada skala kecil-kecilan. Kilang paling biasa yang melakukan kerja tersebut boleh memproses 30 hingga 50 tan bahan mentah sehari, dan untuk mendirikannya pada skala tersebut akan menelan sekurang-kurangnya AS$130 juta,” tambahnya.

    Satu kelebihan jentera buatan tempatan adalah ia boleh disesuaikan dan dinaik taraf dengan senang. Disebabkan sering menguji kaji dan memperbaiki proses, MG Pacific boleh memproses 3,000 atau 4,000 liter pada satu kali. Pada asalnya, dia hanya merebus 100 atau 200 liter sahaja.

    Operasi itu beralih kepada mesin pemotongan separa automatik, memandangkan proses memotong menggunakan tangan merupakan kerja yang sukar. Selepas 10 pinggan, tangan kebanyakan pekerja sudah terlalu lemah untuk meneruskan kerja, maka proses pengeluaran menjadi perlahan.

    Socheat tidak jelas jumlah pinggan yang boleh dihasilkan untuk setiap 10 liter hampas tebu yang direbus, menyifatkan rantaian pengeluaran sebagai bergerak seperti roda gear, sentiasa berubah tanpa korelasi jelas di antara input dan output yang sentiasa berubah.

    “Proses mengering, mengisar dan merebus adalah amat kompleks daripada yang difikirkan, namun saya fikir saya boleh menggunakan variasi proses asas yang sama dengan menggunakan daun pisang dan gentian asli lain dalam menghasilkan kertas lukis,” tambahnya.

    Socheat menjelaskan sebab-sebab kenapa dia menumpu pada pengeluaran pinggan kertas buat masa sekarang. Permintaan untuk produk lain adalah kurang dan setakat ini, skala ekonomi adalah penting kepada proses pengeluaran. Beliau berkata perniagaan tidak menguntungkan tetapi masih ada orang yang meminta formula dan proses daripadanya.

    Secara berseloroh, dia berkata mereka tidak akan membayarnya untuk ‘resipi’ pengeluaran pinggan kertas – tetapi dia akan membayar mereka sekiranya me-reka cukup berani untuk mencuba dan memperoleh keuntungan.

    “Saya tidak percaya sesiapa boleh terlibat dalam perniagaan ini dan menjadi kaya – saya telah menceburi industri ini hampir 10 tahun,” katanya.

    Kilangnya akan berpindah ke premis lebih besar tidak lama lagi, dan Socheat dijangka akan menambah pengeluaran kepada 2,000 atau 3,000 pinggan sehari. Mesin juga akan dipertingkatkan.

    “Pinggan kertas adalah lebih mahal daripada busa – walaupun ia jelasnya lebih baik daripada perspektif alam sekitar. Walau bagaimanapun, wujudnya banyak persaingan dalam kalangan pengeluar pinggan kertas. Produk import Thai pada umumnya dijual dengan harga lapan atau sembilan ribu riel untuk satu peket yang mempunyai 10 pinggan. Produk kami, yang lebih besar, dijual pada harga 10,000 riel.”

    Pinggan MG Pacific kini boleh diperoleh di pasar raya di ibu negara, termasuk Olympic Market dan Carrot Market.

    “Bukan semua pelanggan kisah mengenai harga, tetapi mereka sedar produk tempatan cenderung lebih mahal daripada yang diimport. Dalam kes kami, ia disebabkan produk kami dibuat dengan tangan, di mana produk import menggunakan mesin automatik. Produk asing biasanya dibuat daripada campuran buluh dan bahan lain, dan termasuk perekat dan bahan kimia lain untuk menjadikan produk kelihatan putih,” jelasnya.

    Produk yang dibuat daripada hampas tebu asli berwarna kuning muda, seperti hampas padi. Tidak adanya produk putih yang bebas daripada bahan kimia, dan jika kebanyakan pengguna ditanya, mereka akan berkata putih adalah opsyen yang lebih mahal.

    Beliau menambah syarikat mesra alam tidak akan menggunakan glu dalam proses pengeluarannya, tetapi akan menggunakan kanji asli untuk mewujudkan alternatif bebas bahan kimia.

    Selain pinggan, Socheat merancang memperkenalkan produk lain untuk mengembangkan syarikatnya.

    “Kami tidak akan berkembang dengan hanya menjual pinggan dan kertas hampas. Sesiapa yang memikirkan ia mungkin membawa keuntungan adalah dialu-alukan untuk mencuba, tetapi saya berniat memperkenalkan variasi yang lebih banyak.”

    Dia menawarkan untuk menyerahkan operasi perniagaan kepada lima kakitangan yang bertanggungjawab terhadap pengeluaran, berkata mereka akan bertanggungjawab atas kesemua pendapatan dan perbelanjaan.

    Mereka boleh membayar diri mereka daripada keuntungan syarikat, tetapi tidak akan menerima gaji daripadanya.

    Apabila ditanya kenapa dia masih meneruskan perniagaan walaupun mencatat kerugian, Socheat berkata syarikat merupakan sumbangannya kepada alam sekitar dan dia sedang memikirkan mengenai masa depan planet. – ANN/The Phnom Penh Post

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda