Pinjaman komputer bantu pelajar

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Bagi memudahkan guru dan pelajar untuk menjalani sesi pembelajaran dalam talian semasa krisis COVID-19 di negara ini, Sekolah Rendah Dato Othman (SRDO), Kluster 3, menerima pinjaman komputer riba daripada Kementerian Pendidikan, sumbangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan).

Guru Besar SRDO, Hajah Hafizah binti Haji Salat ketika ditemui Media Permata berkata, dengan adanya pinjaman komputer untuk tujuan pembelajaran dalam talian itu diharapkan akan dapat meningkatkan lagi potensi pembelajaran para pelajar.

“Ia juga dapat membantu para pelajar yang mempunyai kesulitan dengan Home Base Learning (HBL) dan juga pinjaman komputer akan diberi keutamaan kepada pelajar Tahun 6 yang akan menduduki peperiksaan PSR nanti,” jelas beliau. Sebanyak 15 buah komputer riba telah diserahkan secara pinjaman untuk tempoh-tempoh tertentu kepada para pelajar yang terpilih.

Pinjaman komputer riba kepada para murid berkenaan adalah tertakluk kepada Kementerian Pendidikan. Yayasan telah menyumbangkan komputer-komputer riba berkenaan kepada Kementerian Pendidikan yang kemudian diagih-agihkan kepada sekolah-sekolah terpilih.

Pinjaman komputer riba tersebut juga telah dilakukan oleh beberapa buah institusi di negara ini, bagi membantu para pelajar mengikuti pembelajaran melalui dalam talian.

Sebanyak 15 buah komputer riba telah diserahkan secara pinjaman kepada para pelajar terpilih.