COLOMBO, 5 OGOS – Peminjaman wang daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk Sri Lanka mungkin tertangguh sekiranya pemberi pinjaman – yang terbesar ialah China – tidak bersetuju dengan konsesi, presiden Sri Lanka memberi amaran hari ini.
Penstrukturan hutang yang penting – dengan negara-negara yang ia berhutang berbilion dolar bersetuju untuk menangguhkan pembayaran hutang – adalah pra syarat sebelum IMF meluluskan pinjaman untuk Sri Lanka, yang dilanda inflasi dan kekurangan bekalan asas yang berleluasa.
“Sehingga kita mencapai perjanjian di kalangan pemberi pinjaman rasmi, ia adalah mustahil untuk diluluskan,” Ranil Wickremesinghe memberitahu semasa forum.
Wickremesinghe tidak menyebutkan nama negara pemberi pinjaman, tetapi penganalisis berkata beliau merujuk kepada China, pemberi pinjaman terbesar, yang meminjamkan lebih 10 peratus daripada hutang luar negara Sri Lanka.
Pegawai berkata mencapai perjanjian dengan Beijing adalah penting, tetapi China tidak mahu menawarkan lebih banyak pinjaman.
Presiden-presiden sebelum ini, termasuk yang digantikan baru-baru ini yang lari ke luar negara dan meletak jawatan bulan lalu, banyak membuat pinjaman dari Beijing untuk projek-projek infrastruktur.
Penganalisis, Victor Ivan berkata rundingan hutang boleh dilakukan sekiranya Beijing memberikan konsesi untuk Sri Lanka, yang kini menjadi titik panas geo-politik.
Disebabkan kegagalan untuk melunaskan pinjaman bernilai AS$1.4 bilion, Colombo terpaksa menyerahkan pelabuhan yang dibiayai oleh China kepada syarikat Beijing pada 2017 dengan pajakan selama 99 tahun. – AFP
