Penyanyi Pinkan Mambo mendedahkan dia menyewa sebuah kediaman mewah dengan kadar sewa harian sekitar RM800.
Memetik laporan Kompas, Pinkan memberitahu langkah berani itu diambil selepas mendapat inspirasi daripada usahawan dan YouTuber, Atta Halilintar.
Kata Pinkan, kejayaan Atta dalam dunia bisnes membuka matanya untuk membuat pelaburan hartanah sebagai strategi perniagaan, lapor mStar.
“Salah satu sebab saya ada rumah besar sekarang adalah kerana terinspirasi daripada Atta. Saya sangat kagum bila mendapat tahu Atta menyewa rumah di Pondok Indah, Jakarta semata-mata dijadikan tempat meletak kenderaan. Itu betul-betul jiwa usahawan,” katanya.
Dalam pada itu, Pinkan memberitahu tujuan dia menyewa kediaman mewah itu bukan sekadar mahu mengubah gaya hidup tetapi merupakan langkah positif yang diambil dengan harapan bakal membawa pulangan yang baik di masa hadapan.
“Saya percaya kepada perkara positif, walaupun sekarang saya menyewa dulu dan berkorban, tetapi saya pasti dapat hasilnya pada masa akan datang,” ujarnya.
Sebelum ini, menerusi program Rumpi TransTV, Pinkan mengakui harga sebenar rumah sewa miliknya berjumlah 4 juta Rupiah Indonesia (RM1,000) sehari.
Namun, penyanyi berkenaan mendapat diskaun dan hanya perlu membayar 2.5 juta Rupiah Indonesia bersamaan RM800.
Pun begitu, kediaman tersebut bukan disewa untuk kegunaan peribadi, sebaliknya dijadikan pusat operasi perniagaan makanan seperti donat, pisang goreng dan katering. – Agensi


