Wednesday, October 23, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pintu kawalan dipasang di laluan Gunung Fuji

    TOKYO, 18 JUN – Satu pintu kawalan orang ramai telah dipasang di pertengahan laluan Gunung Fuji di Jepun kelmarin menjelang permulaan musim pendakian pada 1 Julai tahun ini, tetapi gabenor Yamanashi, salah satu daripada dua wilayah yang menjadi rumah kepada gunung itu, berkata langkah tambahan diperlukan untuk mengawal kese-sakan di cerun yang lebih rendah.

    Pintu kawalan itu telah disiapkan sebagai sebahagian daripada peraturan baharu yang diperkenalkan oleh Yamanashi tahun ini untuk menangani masalah keselamatan, alam sekitar dan kesesakan yang semakin meningkat di gunung itu.

    Pintu pagar yang baharu dipasang itu akan ditutup antara jam 4 petang dan 3 pagi untuk menghalang mereka yang tidak membuat tempahan penginapan di pondok sepanjang laluan Yoshida, yang digunakan oleh kebanyakan pendaki. Ia bertujuan untuk menghentikan pendakian segera atau bergegas ke puncak tanpa rehat yang mencukupi, yang dianggap sebagai risiko keselamatan utama. Seramai 4,000 pendaki maksimum akan dibenarkan memasuki laluan itu setiap hari.

    “Sekatan yang akan berkuat kuasa tahun ini adalah langkah-langkah untuk menangani masalah yang meletakkan nyawa pendaki dalam bahaya,” kata Gabenor Yamanashi, Kotaro Nagasaki pada sidang akhbar di Tokyo. Beliau berkata jumlah pendaki di laluan itu pada tahun ini dijangka melebihi 137,236 pendaki tahun lepas.

    “Kesesakan berhampiran puncak boleh menyebabkan bencana besar, seperti orang jatuh dalam kesan domino,” katanya.

    Di bawah sistem baharu itu, pendaki mesti membuat tempahan dan memilih antara mendaki sehari atau bermalam di salah satu daripada beberapa pondok di sepanjang laluan itu. Terdapat bayaran pendakian mandatori sebanyak 2,000 yen dan sumbangan pilihan sebanyak 1,000 yen untuk pemuliharaan. – AP

    Pekerja memasang pintu pagar di stesen ke-5 untuk laluan ke Gunung Fuji, di Fujiyoshida, wilayah Yamanashi, Jepun pada 17 Jun. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda