Oleh Fadhil Yunus –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JULAI – Projek Ikan Pusu (PIP) muncul juara Liga Akademi Bola Sepak Brazil (BFA) NOSSA 2024 Bawah 12 Tahun (B12) selepas menduduki tangga teratas di Padang Rekreasi Diraja Brunei baru-baru ini.
Pasukan akar umbi program pembangunan bola sepak tempatan itu telah menyandang gelaran juara dengan kelebihan satu mata di hadapan naib juara, BFA Brunei, manakala Dash FA pula menduduki tempat ketiga.
Pasukan yang baru dinobatkan juara itu telah menikmati kempen cemerlang dengan memperolehi 53 gol dan enam bolos dalam 14 perlawanan.
Kejayaan pasukan tersebut adalah hasil bimbingan Pengurus Pasukan PIP, Rosnani binti Wahid; dan Jurulatih, Nor Khairunnisa binti Mohammad, sekali gus secara tidak langsung menyaksikan penglibatan wanita dalam bola sepak.
Ketua Pengurus PIP, Cheah Swee Ming, mengucapkan terima kasih kepada pasukan yang mengambil bahagian kerana memberikan cabaran sepanjang kejohanan.
Dia berkata, “Semua orang menyasarkan kekalahan PIP, dan kami bernasib baik dapat bertahan daripada tekanan setiap hari Ahad. Kami bertahan untuk menang.”
Sementara itu, Ketua Jurulatih PIP, Haji Omar bin Haji Jamil berkata, “Kemenangan ini adalah hasil kerjasama yang luar biasa dan usaha gigih daripada semua jurulatih, ahli jawatankuasa, ibu bapa dan penjaga serta penyokong PIP yang berdedikasi.”


