Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Projek Ikan Pusu (PIP) mengumumkan bahawa mereka telah menyambung semula latihan bermula kelmarin di padang Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) setelah aktiviti sukan digantungkan akibat penularan COVID-19.
Walau bagaimanapun, pemain-pemain adalah dimestikan untuk mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) yang mana perhimpunan ramai adalah ditegah dan pemain mestilah bersurai setelah tamat sesi latihan.
Sementara itu, ibu bapa dan juga penjaga pemain adalah dinasihatkan untuk mematuhi peraturan keselamatan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan KKBS.
Sesi latihan termasuk kategori pasukan bawah 18 tahun, bawah 10 tahun, bawah 12 tahun, bawah 14 tahun, bawah 16 tahun dan bawah 18 tahun.
Pemain-pemain adalah dimestikan hadir 30 minit sebelum latihan bermula untuk menjalani proses sebelum latihan.

Mereka turut diingatkan untuk memakai penutup mulut dan hidung semasa hadir ke padang latihan dan mengimbas kod QR menerusi aplikasi BruHealth sebelum memasuki padang. Selaras dengan garis panduan yang telah dikemas kini bagi sukan berpasukan, hanya 15 orang pemain dibenarkan bagi tiap-tiap sesi.
Ibu bapa dan penjaga turut diingatkan untuk mengambil anak-anak mereka tepat pada masanya.
Pengurus PIP, Cheah Swee Ming berkata, “Kita mesti dalam keadaan selamat dan cergas. Hargai peluang untuk bermain bola sepak dan kekal aktif seperti mana persediaan anda sebelum ini. Ini merupakan tempoh empat bulan kebelakangan yang sukar.”
Latihan bola sepak telah diadakan secara minimum sejak sukan berpasukan telah dimasukkan ke dalam garis panduan yang ditetapkan oleh KKBS.
Dalam fasa kini, latihan hanya boleh dijalankan dengan tahap sentuhan yang minimum dengan perkongsian peralatan adalah dibenarkan. Walau bagaimanapun, sebarang perlawanan dan kejohanan adalah masih belum dibenarkan.
Sementara itu, kelab-kelab domestik dari Liga Super Brunei (BSL) telah menyambung semula aktiviti latihan mereka berpandukan garis panduan yang sedia ada.