Oleh Fadhil Yunus –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Pasukan Projek Ikan Pusu (PIP) Bawah 15 Tahun (B15) mengambil bahagian dalam perlawanan tiga segi dengan pasukan junior Tunas Asas Bola Sepak (TABS) di Padang TABS Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.
Program pembangunan bola sepak akar umbi itu mendahului TABS ‘B’ 2-0 menerusi dua jaringan daripada ketua pasukan, Mohd Arshyad Taqiuddin bin Haji Abdul Rahim Hanafia sebelum gol lewat menyebabkan mereka tewas 1-0 menentang TABS ‘A’.
Meskipun kalah, Ketua Jurulatih PIP B15, Mohd Adi Shahirol Izzat Haji Omar melahirkan rasa bangga dengan persembahan yang ditunjukkan anak buahnya terutama ketua pasukan.
Ketua jurulatih itu berkata, “Bagi saya, perlawanan ini pengalaman yang baik untuk pemain PIP. Kami setanding dengan Sabah B15 tetapi mesti terus bekerja keras sebagai sebuah pasukan dan akademi.”
Dia menambah, “Kami mesti mengambil kesempatan ke atas momentum ini untuk bergerak ke hadapan.”
Beliau juga menggalakkan akademi akar umbi Brunei untuk bermain menentang lawan kumpulan umur semasa cuti sekolah di Kota Kinabalu, sambil menambah bahawa perlawanan persahabatan ini akan membantu menilai kemajuan bola sepak akar umbi dan remaja.
Perlawanan persahabatan itu diatur melalui Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD) dengan sokongan dan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), serta TABS.
