Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Pique terima kad merah

    PAMPLONA, SEPANYOL, 9 NOV – Gerard Pique telah dibuang padang pada pertengahan perlawanan susulan tindakannya membantah keputusan pengadil, namun Barcelona bangkit semula dengan mengalahkan Osasuna 2-1 dan melonjak lima mata di atas carta La Liga, kelmarin.

    Pemain berusia 35 tahun itu berang dengan keputusan pengadil, Jesus Gil Manzano yang melayangkan kad kuning kedua buat penyerang Barca, Robert Lewandowski pada babak pertama.

    Pique, yang berada di bangku simpanan, dengan marah menghampiri Manzano semasa waktu rehat.

    “Saya baru saja mahu masukkan dia, ya. Kami tahu Andreas (Christensen) baru pulih dari kecederaan, Eric Garcia pula sedang mengalami kesakitan… Jadi Gerard lah yang tinggal dan kami bercadang untuk masukkan dia, ya,” kata Xavi.

    “Namun mereka memberikan kad merah kepadanya. Ia adalah kerana tekanan sewaktu itu. Kami rasa tidak adil, jadi Gerard pun terikut emosinya.”

    Media Sepanyol melaporkan Pique bertanya, “Awda sedarkan siapa yang awda keluarkan?”
    Ini merupakan kad merah kedua dalam karier Lewandowski, dengan kad kuning kedua diberikan kepadanya selepas bersaing dengan David Garcia, yang memberikan gol pendahuluan untuk Osasuna pada minit keenam.

    Osasuna berharap untuk memanjat ke tangga ketiga dalam La Liga dengan kemenangan ke atas Barca. Namun, impian tersebut lenyap apabila Pedri menyamakan kedudukan pada babak kedua. Skuad Catalan menutup tirai perlawanan dengan kemenangan apabila Raphinha menanduk masuk hantaran Frenkie de Jong.

    “Kami hampir kalah dalam perlawanan ini, namun kami berusaha bersama-sama. Saya sangat berbangga dengan mereka,” tambah Xavi. – AFP

    Aksi Raphinha menanduk masuk bola dalam perlawanan antara Osasuna dan Barcelona di stadium El Sadar, Pamplona. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Presiden Iran rasmi projek hidrokuasa dan pengairan Sri Lanka

    COLOMBO, 24 APRIL — Presiden Iran, Ebrahim Raisi tiba di Sri Lanka hari ini untuk merasmikan projek hidrokuasa dan pengairan yang telah lama tertangguh...