Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pirlo kekal positif tanpa CR7 menentang Barca

    MILAN, 27 OKT – Andrea Pirlo kekal positif ketika melakukan persiapan menjelang perlawanan terbesarnya sejak mengambil alih sebagai jurulatih Juventus berdepan Barcelona yang diketuai Lionel Messi pada aksi Liga Juara-Juara pada Khamis ini.

    Juara Itali itu dijadualkan beraksi tanpa Cristiano Ronaldo (gambar bawah) yang masih berada dalam pengasingan diri selepas positif COVID-19.

    Pirlo yang mengambil alih pasukan selepas pemecatan Maurizio Sarri apabila Juventus tersingkir dari kelompok 16 akhir kepada Lyon pada Ogos lalu, sekali gus berusaha mengekalkan Juve dalam saingan itu.

    Juventus pernah memenangi kejohanan berkenaan dua kali, dengan kali terakhir pada 1996. Mereka muncul naib juara tujuh kali termasuk dua daripadanya dalam tempoh lima tahun lalu.

    Aksi terakhir Pirlo, 41, dalam perlawanan bersama Juventus sebagai pemain ketika tewas 1-3 kepada Barcelona dalam final Liga Juara-Juara 2015.

    Juventus menandatangani bintang Portugal, Ronaldo pada 2018 dengan sasaran menjulang trofi Eropah dan ketiadaannya berdepan skuad Barcelona pasti berdepan tugas sukar.

    Penyerang berusia 35 tahun itu perlu mendapat keputusan ujian negatif 24 jam sebelum dibenarkan beraksi di Turin. Sementara aksi timbal balik di Stadium Camp Nou pula pada 8 Disember depan.

    “Kami merindui aksinya ketika ini, sudah tentu,” kata rakan sepasukannya dari Colombia, Juan Cuadrado.

    “Dia adalah juara. Dalam perlawanan sukar seperti ini, kekuatannya, pemikiran dan keinginannya sangat diperlukan.”

    Ronaldo menjaringkan tiga gol buat Juventus dalam dua perlawanan awal liga sebelum disahkan menerima kontak virus berkenaan ketika perlawanan antarabangsa.

    Walaupun Pirlo belum mencatat kekalahan musim ini, Juventus berada di tangga kelima di Serie A, dengan tiga seri dalam lima perlawanan.

    “Barcelona? Ini tidak membimbangkan saya, mereka adalah dua perlawanan yang berbeza,” kata Pirlo selepas keputusan seri 1-1 Ahad lalu menentang Hellas Verona.

    “Verona bermain berbeza daripada Barcelona, ​​menentang pasukan yang bermain seperti ini, anda harus menyediakan jenis perlawanan tertentu.

    “Kami dalam fasa pembinaan,” jelas jurulatih itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda