Monday, February 3, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pistorius tolak cadangan kenaikan perbelanjaan pertahanan NATO

    MOSCOW, 2 FEB – Menteri Pertahanan Jerman, Boris Pistorius, kelmarin, berkata beliau tidak menyokong cadangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk menaikkan perbelanjaan pertahanan dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kepada 5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap negara anggota, lapor Sputnik/RIA Novosti.

    “Lima peratus daripada KDNK kita bersamaan 42 peratus daripada belanjawan Persekutuan Jerman, iaitu setiap dua euro yang dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan, berjumlah €230 bilion (AS$238 bilion). Kita tidak mampu menampung atau membelanjakan jumlah sebanyak itu,” katanya kepada akhbar Tagesspiegel.

    Pistorius menegaskan bahawa Jerman mesti menyumbang kepada keupayaan pertahanan NATO mengikut kemampuannya, dan itulah yang akan dilakukan negara itu dalam tempoh 10 tahun akan datang.

    Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa Jerman perlu meningkatkan perbelanjaannya pada masa hadapan, melebihi dua peratus daripada KDNK, kadar yang diperuntukkan oleh Kerajaan Jerman ketika ini.

    Namun, beliau menekankan bahawa sebarang keputusan dalam NATO dibuat secara kolektif. Trump sebelum ini mencadangkan negara anggota NATO meningkatkan perbelanjaan pertahanan kepada lima peratus daripada KDNK.

    Pada Sidang Kemuncak NATO di Vilnius pada 2023, negara anggota bersetuju untuk membelanjakan sekurang-kurangnya dua peratus daripada KDNK mereka untuk pertahanan. Pada masa ini, 23 daripada 32 negara anggota NATO telah mencapai atau melebihi paras 2 peratus itu. – Bernama

    Pistorius (kiri) tiba untuk mesyuarat mingguan kabinet Jerman di Canselori di Berlin pada 29 Januari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda