LONDON, 26 JUN – Brad Pitt menikmati pengalaman ‘luar biasa’ apabila diberi peluang memandu kereta Formula 1 sebenar ketika filem F1: The Movie mula ditayangkan di pawagam Britain dan beberapa negara lain, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Bintang Hollywood itu, yang membawakan watak pemandu F1, Sonny Hayes dalam filem berkenaan, berpeluang memandu kereta McLaren musim 2023 di Litar Americas, Austin baru-baru ini.
Pitt, 61, sudah mempunyai banyak pengalaman memandu – termasuk memandu kereta F2 yang diubah suai – sepanjang penggambaran filem itu dalam tempoh dua tahun lalu, namun mengakui amat teruja dengan peluang pertama memandu kereta F1 sebenar.
“Oh Tuhan, sungguh mendebarkan,” kata Pitt dalam satu video di saluran media sosial McLaren. “Ia jauh lebih berkuasa daripada apa yang pernah saya pandu.”
Pitt berkata dalam podcast Beyond the Grid: “Minggu ini saya sempat memecut sehingga 197 batu sejam. Saya memang nak capai 200. Rasa terkilan juga – tiga batu sejam sahaja lagi di laluan lurus. Ini di Austin.
“Saya tak pernah rasa pengalaman sebegini. Fokus sepenuhnya, tapi bukan dalam keadaan takut. Awda rasa seperti berada dalam aliran yang cukup indah. Memang luar biasa.
“Saya cuba jelaskan rasa downforce itu, tapi memang gagal setiap kali. Kalau nak banding macam roller coaster pun tak tepat, sebab awda rasa seperti ada titik imbangan di bawah dan awda berada dalamnya.
“Saya pernah menaiki pesawat aerobatik, itu pun hampir sama, tapi masih tak setanding ini. Perasaan ini memang unik dan satu nikmat yang sukar digambarkan. Saya masih rasa teruja sehingga sekarang,” ujarnya.
Watak rakan sepasukan rookie Pitt, Joshua Pearce, dibawakan oleh pelakon Britain, Damson Idris. Penggambaran dijalankan di beberapa perlumbaan sepanjang dua musim lalu dan pihak F1 berharap filem ini dapat menyaingi populariti siri Drive To Survive terbitan Netflix untuk menarik minat penonton di Amerika Syarikat.
Juara dunia tujuh kali Lewis Hamilton ialah penerbit eksekutif filem arahan Joseph Kosinski dan terbitan bersama Jerry Bruckheimer itu. F1: The Movie akan ditayangkan di Amerika Syarikat pada Jumaat nanti. – Bernama/dpa
