Pixel 4 takkan dilancar di India – Google

MUMBAI, 16 OKT – Google tidak akan melancarkan telefon pintar Pixel 4 terbaharu di India, kata syarikat, mengecewakan pengguna dengan keputusan yang dilaporkan berdasarkan keengganannya untuk mengeluarkan satu ciri yang menggunakan frekuensi radar yang diharamkan di negara Asia Selatan itu.

Beberapa jam selepas syarikat gergasi internet milik Alphabet melancarkan handset terbaharu yang memaparkan keupayaan mengesan pergerakan dan kamera yang dipertingkatkan, firma itu memberitahu pengguna Twitter India bahawa telefon tersebut tidak akan dijual di negara itu.

“Kami memutuskan tidak akan menjual Pixel 4 di India,” tulis Google di Twitter lewat semalam daripada akaun rasmi syarikat, tanpa memberikan sebab.

“Kami tetap komited kepada telefon Pixel 3a kami dan tidak sabar-sabar untuk membawa Pixel masa depan dan produk perkakasan lain ke India.”

Tindakan itu mencetuskan spekulasi bahawa teknologi radar yang mengesan pergerakan telefon baharu dipanggil ‘Soli’ – yang beroperasi menggunakan frekuensi yang tidak dibenarkan untuk kegunaan orang awam di India – bertanggungjawab aras keputusan tersebut.

Google telah menganggap ‘Motion Sense’ sebagai ciri utama Pixel 4, yang akan membenarkan pengguna meninggalkan lagu, menutup penggera dan menutup panggilan telefon hanya dengan melambai tangan mereka.

Brian Rakowsi daripada Google berkata dalam satu kenyataan bahawa ciri tersebut dibenarkan di semua pasaran di mana Pixel 4 dijual, ‘kecuali di Jepun di mana ia akan dilancarkan tidak lama lagi.’

Kenyataan tidak berkata kenapa fungsi itu tidak dibenarkan pada pelancaran di Jepun. – AFP

Gambar bertarikh 24 September menunjukkan Rick Osterloh, Naib Presiden Senior Google Perkakasan memegang telefon Pixel 4 baharu ketika ditemu bual di Mountain View, Calif. – AP