Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Dis – Pizza Hut Brunei telah menyerahkan sumbangan berjumlah $10,000 untuk Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) pada majlis yang berlangsung di Pizza Hut, Sungai Tilong, di sini, pagi tadi.
Hadir untuk menerima sumbangan hasil kutipan daripada para pelanggan Pizza Hut Brunei itu ialah Presiden MKM, Datin Paduka Hajah Intan binti Haji Mohd Kassim yang disampaikan oleh Pegawai Perhubungan Awam Pizza Hut Brunei, Izan Zein.
Menurut Izan Zein, sumbangan tersebut adalah hasil kutipan daripada pusat panggilan Pizza Hut Brunei dan kotak-kotak sumbangan yang tersimpan di 15 cawangan Pizza Hut Brunei di sini.
Dengan sumbangan ini, Pizza Hut Brunei berharap akan dapat memberikan perubahan dan kelainan yang ingin dicapai MKM sepanjang kerja keras dan dedikasi mereka secara sukarela selama ini.
“Kami berharap akan terus melaksanakan bahagian kami untuk menyumbangkan kepada mereka yang memerlukan dan kami berterima kasih kepada para pelanggan atas sokongan berterusan mereka terhadap kami,” jelas Izan.

Datin Paduka Hajah Intan pula melahirkan rasa penghargaan dan terima kasih atas sumbangan daripada orang ramai itu dan kepada Pizza Hut Brunei atas inisiatif mereka dalam memanjangkan amal orang ramai tersebut.
“Inisiatif Pizza Hut Brunei dalam pelbagai aktiviti amalnya itu adalah antara yang terbaik untuk memberi semula kepada masyarakat dan dengan adanya sumbangan ini dapatlah MKM meneruskan aktiviti amalnya membantu mereka yang memerlukan,” kata Datin Paduka Hajah Intan.
Menurutnya lagi, sumbangan berkenaan memberikan makna yang besar dalam merealisasikan dan menjayakan projek amal ‘Back to School’ yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Beliau menambah, projek berkenaan akan memberikan sumbangan berupa keperluan sekolah kepada keluarga kurang berkemampuan yang berdaftar dengan MKM bagi membantu mengurangkan beban mereka dalam membuat persiapan untuk anak-anak mereka bersekolah.
Lebih 200 buah keluarga kurang berkemampuan berdaftar dengan MKM yang membantu ahli keluarga berkenaan di sepanjang tahun sejak ia ditubuhkan.
Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan seperti memberikan sumbangan keperluan asasi harian keluarga yang memerlukan, acara-acara amal, aktiviti cuti persekolahan bagi kanak-kanak yang kurang berkemampuan dan banyak lagi.
Tahun ini, MKM kurang mendapat sumbangan seperti tahun-tahun yang sebelumnya namun dengan adanya sumbangan daripada Pizza Hut Brunei ini, maka dapatlah MKM meneruskan aktiviti projek mereka.